MB Kelantan, Nik Elin Zurina tiba di mahkamah
PUTRAJAYA - Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud tiba di Istana Kehakiman, di sini bagi mengikuti prosiding pendengaran petisyen difailkan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Kelantan.
Mohd Nassuruddin tiba jam 9 pagi diiringi oleh beberapa individu.
Sebelum itu, Nik Elin Zurina dan beberapa peguam pasukannya juga dilihat tiba jam 8.40pagi tadi.
Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan mendengar hujahan pihak-pihak yang dinamakan sebagai sahabat mahkamah atau Amicus Curiae dalam prosiding yang bermula 17 Ogos lalu.
Mereka ialah Sisters In Islam (SIS); Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.
Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).
Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!