Usah gopoh tunai haji, ambil kira kemampuan diri
Namun, Islam menetapkan salah satu daripada syarat-syarat wajib haji adalah istito'ah atau berkemampuan.
Konsep istito'ah dalam ibadah haji merangkumi pelbagai aspek antaranya berkemampuan dari sudut kewangan, kesihatan, keselamatan, kenderaan dan perlu mendapatkan tasrih atau kebenaran untuk melaksanakan haji iaitu kuota dan visa.
Untuk membantu memastikan umat Islam di negara ini memenuhi konsep istito'ah dalam menunaikan ibadah itu, Lembaga Tabung Haji (TH) telah memberikan Bantuan Kewangan Haji atau subsidi haji kepada jemaah sejak 2001 dan telah menambah baik mekanisme itu secara bersasar bermula tahun 2022.
Menurut Pensyarah Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, sehingga kini TH telah berusaha sedaya-upaya membantu umat Islam menunaikan ibadah haji.
"Umat Islam dibantu mengerjakan ibadah haji dengan cara mereka perlu menjadi pendeposit TH dan mendaftarkan nama mereka untuk tunaikan ibadah berkenaan.
"Kemudian pihak TH akan pastikan wang yang disimpan oleh jemaah haji itu dapat digunakan sebaik mungkin apabila tiba waktunya," katanya kepada Sinar Harian.
"Bagaimanapun, sekiranya ada pihak tampil menaja golongan yang tidak cukup istito'ah menunaikan haji, maka orang tersebut telah termasuk dalam golongan yang berkemampuan dari segi kewangan ketika menunaikan haji.
"Tetapi pada masa sama, orang itu perlu pastikan dirinya turut berkemampuan dari sudut fizikal, kesihatan selain ada kemampuan kewangan untuk menanggung keluarga yang di bawah tanggungjawab mereka di Malaysia kerana jemaah perlu pastikan mereka perlu dipastikan berada dalam keadaan aman dan selamat,” jelas beliau.
Tidak perlu tergesa-gesa
Oleh itu, beliau menasihati orang ramai yang ingin menunaikan haji tetapi belum menepati konsep 'istito'ah agar tidak perlu tergesa-gesa untuk segera menunaikan ibadah berkenaan.
"Jangan putus asa cari rezeki dan teruskan menyimpan di TH. Bila sudah cukup kemampuan dan ada kelayakan, insya-ALLAH mereka akan dapat menunaikan ibadah haji pada waktu yang ditetapkan," tambahnya.
Menurut Mohd Izhar, TH setakat ini juga dilihat telah melakukan pendekatan yang terbaik bagi memastikan kuota haji yang diamanahkan Arab Saudi kepada kerajaan Malaysia diberikan kepada mereka yang betul-betul berhak iaitu berdasarkan giliran.
Sementara itu, pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias berkata, menunaikan haji menjadi kefarduan kepada setiap umat Islam yang berkemampuan melaksanakannya.
"Bagi orang ramai yang ingin tunaikan haji tetapi masih belum tepati konsep istito'ah pula, yang penting niat untuk buat haji itu perlu disertai dengan usaha dan tawakal.
"Jaga kesihatan, tingkatkan ilmu pengetahuan dan ajar anak-anak menabung seawal usia kecil," kata beliau.
Mohd Kazim memberitahu, selama berpuluh tahun, umat Islam di Malaysia dibantu mengerjakan ibadah haji hasil pengurusan yang cekap oleh TH yang sentiasa mengutamakan kepentingan pendeposit.
Ujarnya, bantuan kepada jemaah dalam bentuk Bantuan Kewangan Haji secara bersasar patut diteruskan kerana ia sangat diperlukan segelintir pendeposit.
"Bagi yang berkemampuan (dari segi kewangan) bolehlah memberikan bantuan yang sepatutnya diperoleh mereka kepada individu lain yang tidak berkemampuan," syornya.
Sinar Harian pada 2 November lalu melaporkan berlaku peningkatan jumlah jemaah haji yang menolak Bantuan Kewangan Haji apabila mereka membayar penuh kos menunaikan ibadah itu sebanyak RM30,850 bagi musim haji tahun ini.
Menurut TH, pada musim haji tahun 1444H/2023, seramai 67 orang dari kalangan B40 dan M40 menolak Bantuan Kewangan Haji secara total dan membayar penuh manakala 396 jemaah haji telah membayar RM1,000 hingga RM12,000 lebih daripada kadar bayaran haji yang ditetapkan. Ini berbanding musim haji 1443H/2022M yang lalu yang mana seramai 44 orang jemaah telah membuat bayaran penuh kos haji.
Katanya, peningkatan jumlah jemaah haji yang membayar kos haji penuh tersebut jelas menunjukkan kesedaran umum dan jemaah mengenai kepentingan istito’ah dalam ibadat haji.
Dalam pada itu, pesara pensyarah, Raja Sulaiman Raja Lope Ahmad, 61, berkata, peningkatan jumlah jemaah yang membayar kos penuh haji tersebut akan dapat mengurangkan perbelanjaan TH.
REAKSI
“Daripada pulangan itulah sebenarnya akan menjadikan seseorang yang tidak mampu bertukar menjadi istito'ah. ”- Bekas penerima kuota haji TH, Abdul Hadi Abdul Raman, 37.
“Saya sokong subsidi bersasar dilaksanakan kerana ia akan membantu golongan yang benar-benar layak dan mengurangkan beban tanggungan TH. “ - Imam Masjid, Mohd Rosdan Mohamad, 50.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!