Kementerian Kesihatan Gaza nafi dakwaan terowong Hamas oleh Israel

Tentera Israel mendakwa menemui terowong Hamas di bawah Hospital Al-Shifa. - Agensi
Tentera Israel mendakwa menemui terowong Hamas di bawah Hospital Al-Shifa. - Agensi
A
A
A

DEIR EL-BALAH - Kementerian kesihatan Gaza menolak dakwaan Israel bahawa ia telah menemui terowong Hamas di Hospital Al-Shifa dan menyifatkan ia sebagai ‘pembohongan tulen’.

Pengarah kementerian tersebut, Mounir el-Boursh dalam kenyataannya berkata, Israel sebaliknya telah meneruskan serangan udaranya ke atas Gaza, menyasarkan beberapa kawasan di enklaf itu menyebabkan angka penduduk awam terkorban kini melebihi 13,000 sejak pengeboman bermula pada 7 Oktober lalu.

"Tentera Israel sudah berada selama lapan hari di Hospital Al-Shifa dan mereka belum menemui apa-apa," kata Mounir.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) pada Isnin menyiarkan rakaman video memaparkan terowong didakwa digali oleh pejuang Hamas di bawah Hospital Al-Shifa.

Dalam kemas kini mengenai operasi di Hospital Al Shifa di Gaza, tentera Israel berkata, juruteranya menemukan terowong sedalam 10 meter dan sepanjang 55 meter ke pintu kalis letupan.

Sebelum ini, Israel IDF turut menyiarkan rakaman video propaganda penemuan terowong kononnya berada di bawah Hospital Al-Shifa.

Tangkap layar rakaman video mendakwa terowong Hamas yang sebenarnya terowong zaman perang di Sweden. - Agensi
Tangkap layar rakaman video mendakwa terowong Hamas yang sebenarnya terowong zaman perang di Sweden. - Agensi

Namun, video berkenaan sebenarnya adalah rakaman terowong zaman perang di Sweden yang dirakam dan dimuat naik dalam akaun YouTube Uehunters pada 11 Oktober 2022.

Artikel Berkaitan:

Lebih memalukan apabila Jurucakap Perdana Menteri Israel, Ofir Gendelman pada awal bulan ini berkongsi video "mesti tonton" yang didakwanya sebagai rakaman dalam terowong Hamas.

Dalam video dikongsi Gendelmen, seekor anjing IDF kononnya mengejar pejuang Hamas yang menjerit ketakutan dengan tajuk 'Anjing mengejar Hamas sehingga kemenangan'.

Bagaimanapun, Yoav Zitun, koresponden tentera untuk Ynet, saluran berita utama Israel mengesahkan ia adalah video lama dan bukan dari Gaza.

Menurut Zitun, video dikongsi Gendelman adalah video latihan Operation Protective Edge.

Operation Protective Edge ialah nama yang diberikan Israel kepada serangannya pada 2014 ke atas Gaza.

Serangan tersebut mengorbankan lebih 9,000 orang, hampir separuh daripadanya kanak-kanak. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!