Lukisan mural 3D di Taiping masuk Malaysian Book of Records
TAIPING - Bandar Taiping mencipta rekod apabila menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records menerusi lukisan mural 3D terbesar di luar bangunan di Malaysia.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Borhan Abdul Halim berkata, lukisan mural dengan ketinggian 14.6 meter dan lebar 27.44 meter dihasilkan oleh enam pelukis di sebuah bangunan di Jalan Abdul Jalil di sini.
Menurutnya, lukisan mural yang menampilkan Amelia Earhart itu menceritakan mengenai penerbangan solo wanita pertama mengelilingi dunia merentasi Lautan Atlantik yang singgah sebentar di Lapangan Terbang Tekah, di sini mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanannya.
"Kita abadikan peristiwa ini dengan menampilkan wajah beliau dan juga pesawat digunakan di dinding bangunan ini dengan tajaan sebuah syarikat swasta.
"Dalam perancangan kita terdapat 12 lagi lukisan mural yang akan kita abadikan di dinding bangunan dengan tema berkaitan warisan di Taiping," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengiktirafan The Biggest Outdoor 3D Mural Painting oleh The Malaysia Book of Records di Jalan Abdul Jalil, di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Orang Besar Jajahan Taiping, Datuk Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali dan wakil The Malaysia Book of Records, Edwin Yeoh Tiong Chin.Borhan berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun depan sebahagian lukisan mural itu akan disiapkan.
Menurutnya, kesemua mural tersebut melibatkan tajaan pihak swasta dengan persetujuan pemilik bangunan tanpa menggunakan peruntukan MPT.
Beliau berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk membuat lukisan mural terpanjang yang menampilkan tokoh atlet berasal dari Taiping yang mengharumkan nama negara.
Katanya, lukisan mural tersebut dicadangkan dibuat di dinding bangunan Penjara Taiping dan MPT akan berbincang dengan Jabatan Penjara mengenai perkara tersebut.
Dalam pada itu, Borhan berkata, pihaknya mengalu-alukan penglibatan dan sumbangan pelbagai pihak untuk menjayakan projek tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!