Lautan putih banjiri pekarangan Istana Kehakiman, simbolik kesucian
PUTRAJAYA - Ribuan peserta membanjiri pekarangan Istana Kehakiman di sini dengan mengenakan pakaian serba putih dalam Himpunan Selamatkan Mahkamah Syariah sejak jam 9 pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain berkata, warna putih dipilih bagi menggambarkan kesucian Mahkamah Syariah yang sepatutnya dipertahankan seluruh umat Islam.
"Saya sanggup redah jem (kesesakan) pada jam 7.30 tadi dari Seremban untuk sama-sama berhimpun dekat sini dan kami pilih untuk pakai baju warna putih sebagai simbolik sucinya undang-undang mahkamah ini yang patut diperjuangkan.
"Saya harap umat Islam lepas ini turun lagi berhimpun untuk perjuangkan Mahkamah Syariah," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Nik Elin dan Tengku Yasmin Nastasha mengemukakan cabaran Perlembagaan berhubung 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) yang mendakwa enakmen tersebut adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.
Kedua-duanya berpendirian, kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah adalah di bawah bidang kuasa Parlimen manakala DUN hanya diberi hak untuk menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.
Kedua-dua individu berkenaan menggesa pihak mahkamah mengisytiharkan bahawa peruntukan tersebut batal dan tidak sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!