Raja Mohamed Affandi mahu sudahkan 'urusan belum selesai' di Kemaman

Raja Mohamed Affandi (tengah) bertemu bersama para pengundi di PDM Kampung Chabang sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.040 Kemaman. - Foto: Bernama
Raja Mohamed Affandi (tengah) bertemu bersama para pengundi di PDM Kampung Chabang sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.040 Kemaman. - Foto: Bernama
A
A
A

KEMAMAN - Mengecapi pelbagai kenangan manis semasa membesar di Kemaman, calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menaruh harapan tinggi untuk kembali ke kampung halamannya itu bagi menyudahkan "urusan yang belum selesai”.

Mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kemaman, bekas Panglima Angkatan Tentera itu melihat medan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman sebagai ruang tepat baginya untuk melangsaikan ‘hutang’ kepada penduduk kawasan itu yang banyak membimbing dan membentuk peribadinya sehingga kini.

"Ini macam bayar balik... saya, keluarga, anak dan cucu, kami rasa amat terhutang dengan apa yang saya nikmati, peroleh selama ini. Jadi bila fikir semula kenapa saya tak boleh bagi balik, bukan hanya kepada kerajaan tetapi kepada tempat saya di Kemaman ini.

"Kalau tawarkan Kuala Pilah ke lain cerita tetapi bila saya ditanya kesanggupan (menjadi calon di PRK Kemaman) jadi saya buat pertimbangan... saya fikir beberapa hari, congak semua sekali, mari lakukannya, saya sendiri yang menawarkan diri kerana saya anak Kemaman, pasti saya akan cari yang terbaik untuk Kemaman, untuk daerah saya,” katanya.

PRK Parlimen Kemaman yang ditetapkan hari mengundi 2 Disember ini menyaksikan Raja Mohamed Affandi berdepan pertembungan satu lawan satu dengan calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Biarpun berhijrah ke ibu negara bagi melebarkan kerjaya sebagai tentera seawal 1970-an hingga berjaya menjawat jawatan tertinggi, Raja Mohamed Affandi berkata, sekiranya mendapat peluang cuti beliau tetap kembali ke Kemaman untuk bersama ahli keluarga yang menetap di Kampung Besut dan Kampung Mak Cili, di sini.

Keadaan itu menyebabkan beliau mudah dikenali penduduk sebagai anak Kemaman yang menempa kejayaan dan banyak berjasa kepada negara terutama dalam aspek menjaga keselamatan serta kedaulatan Malaysia.

"Waktu saya kecil, lepas sekolah saya main bola dan kerap singgah ke pasar. Kalau mak bagi duit beli ikan saya tak perlu bagi duit, peniaga di pasar akan bagi ikan percuma dan baru-baru ini saya ke pasar dan sungguh terkesan, mereka masih ingat saya.

Artikel Berkaitan:

"Saya selalu minum kopi di Hai Peng apabila pulang ke Kemaman dan satu hari ada individu tegur 'kenal aku dok lagi', dan saya masih ingat dia adalah rakan sekelas dulu. Situasi itu buat saya terharu kerana mereka masih ingat kerana dalam kesibukan tugas tentera, saya sebelum ini tidak dapat menyantuni rakan-rakan lama,” katanya.

Justeru, beliau yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam ketenteraan negara, bercita-cita menjadi ‘soldier statesman’ yang cemerlang dalam ketenteraan dan politik bagi menabur bakti serta khidmat kepada penduduk Kemaman dan membangunkan kampung halamannya itu.

Menjadi antara individu berjawatan turus menyertai politik, beliau berharap ia juga dapat menjadi pencetus kepada mereka yang berjawatan tinggi untuk melakukan perkara sama dengan niat semata-mata untuk membantu rakyat.

"Saya harap ia jadi cetusan kepada mereka hierarki yang tinggi untuk terlibat dalam menjadi statesman, bagi saya soldier statesman ini biasa kalau di Amerika... jadi biar kita cetuskan, saya naik melalui kaedah pilihan raya ini tengok kemana dan mungkin jadi satu ledakan baharu,” katanya.

Berdepan Ahmad Samsuri yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu, Raja Mohamed Affandi tidak menganggap dirinya sebagai ‘underdog’ sebaliknya sebagai individu yang mempunyai peluang sama rata untuk menang pada PRK Kemaman dan melakar kejutan.

"Kami setara, kami berjuang di tempat sama, melihat dari situ sekiranya segala kaedah pelaksana PRK ini bersih tak ada dalam bentuk yang menggusarkan... kalau sekilas lihat, PRK ini sama dengan satu situasi perang kerana untuk berperang kita mesti ada persiapan, kita kaji medan kita, pertempuran, siapa lawan dan musuh kita, bagaimana medan ini dapat membantu saya mengatasi musuh kita.

"Masing-masing menyiapkan bala tentera untuk menjadikan medan tersebut lebih lembut dan sesuai untuk bertempur dan serang, dalam perang itu kita buat anggaran dan insya-Allah jangkaan saya boleh beri satu kejutan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!