Kayuhan bertenaga Shaiful ungguli Jelajah Negeri Sembilan
PELUMBA dari Buceros Cycling Team (BUC), Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri menjuarai Kejohanan Jelajah Negeri Sembilan 2023 selepas mengungguli Peringkat Keempat sekitar kawasan Sendayan di sini sejauh 42 kilometer (km) pada Ahad.
Muhammad Shaiful yang mengungguli Peringkat Ketiga pada Sabtu dengan kayuhan bertenaga sekali lagi menyarungkan Jersi Kuning dengan catatan masa keseluruhan peringkat perlumbaan 9 jam 23 minit dan 17 saat (s).
Tempat kedua pula diraih pelumba Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Muhammad Afiq Huznie Othman, dengan catatan masa 9:23.28s manakala pelumba Terengganu, Zhe Yie Kee menduduki tempat ketiga dengan catatan 9:23.40s.
Muhammad Afiq Huznie pula dalam kelas tersendiri apabila mempertahankan Jersi Hijau (Raja Pecut) selepas mengumpul 44 mata keseluruhan.
Kedudukan itu meninggalkan pencabar terdekatnya Abdul Azim Aliyas dari NS Black Panther dan Muhammad Nur Aiman Rosli (BUC) dengan masing-masing mengumpul 41 mata keseluruhan.
Sementara itu, pelumba ATM, Muhammad Zawawi Azman mempertahankan Jersi Merah (Raja Bukit) untuk keseluruhan peringkat perlumbaan dengan mengumpul 12 mata.
Tempat kedua milik Mohammad Saari Amri Abd Rasim dari Helaz Cycling Team (HLZ) yang meraih lapan mata dan Muhammad Qaiyyum Mohd Saiful Anuwai (TPA) merekodkan enam mata.
Reputasi Yie Kee ternyata sukar digugat pelumba lain apabila mendominasi Jersi Putih (Kategori Bawah 23 Tahun) selepas mengumpul catatan masa keseluruhan 9:23.40s.
Dia meninggalkan Muhammad Haizam Mohd Shabri (TPA) yang mencatatkan 9:23.53s dan Muhammad Faiz Fakhri Omar dari Malaysia Pro Cycling (MPC), 9:23.55s.
Hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang, Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS) merangkap Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!