41 rangka manusia Guar Kepah akan dibawa pulang dari Belanda
GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang dalam proses membawa pulang pecahan 41 rangka manusia Guar Kepah iaitu aset warisan prasejarah zaman Neolitik yang berada di Belanda pada suku pertama 2024.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebahagian rangka berkenaan berada di luar negara sejak 150 tahun lepas.
"Lawatan ke The Hague dan Collection Center Netherlands (CCNL), Belanda telah diadakan pada 22 hingga 24 Mac lepas dan ia merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam proses membawa pulang pecahan 41 rangka manusia Guar Kepah iaitu aset warisan prasejarah zaman Neolitik yang kini tersimpan di CCNL.
"... ia sekali gus bagi menentusahkan keberadaan dan menjalankan kerja-kerja analisis terhadap rangka tersebut," katanya.
Beliau menjawab soalan A Kumaresan (PKR-Batu Uban) yang ingin tahu hasil lawatan ke luar negara oleh kerajaan negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Isnin.
Kon Yeow berkata, melalui lawatan itu juga, kerajaan Belanda telah menyerahkan surat persetujuan menyatakan mengenai kepentingan peninggalan Guar Kepah itu untuk dipulangkan kepada Malaysia dan kesediaan Belanda bagi memenuhi permohonan itu kepada Duta Besar Malaysia di Belanda.
Beliau berkata, kerajaan Belanda akan turut membiayai analisis pentarikhan untuk 41 rangka berkenaan di Centre of Isotope Research (CIO), Universiti Groningen dengan anggaran penjimatan kerajaan negeri dan Persekutuan sebanyak AS$246,000 (RM1.17 juta).
"Data saintifik yang diperoleh itu akan menjadi data penting bagi rangka tersebut untuk dipamerkan di galeri kelak dan Kerajaan Belanda menunjukkan kerjasama yang baik berasaskan komitmen untuk terus menyimpan serta memelihara aset warisan kerajaan negeri dan secara tidak langsung Malaysia, sehingga ia dipulangkan pada suku pertama 2024 ke negara ini.
"Hal ini sekali gus menjadi faktor utama kepada pelaburan masa depan kerajaan Pulau Pinang dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pelancongan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan 41 rangka manusia yang digali di tiga kawasan timbunan cengkerang di Guar Kepah, Kepala Batas dekat sini itu dilakukan Ahli Arkeologi British antara 1851 dan 1934. - Belanda
Artikel berkaitan: Belanda kembalikan 41 rangka manusia Guar Kepah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!