Bendera merah dinaikkan di Pantai Tok Bali, Bisikan Bayu
PASIR PUTEH - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Puteh menaikkan bendera merah sebagai tanda larangan kepada orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di pesisir Pantai Tok Bali dan Bisikan Bayu di sini pada Isnin.
Pegawainya, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda ketika ini boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan serta nyawa orang ramai.
"Aktiviti air seperti mandi, pungut hasil pantai, berkelah harus dihentikan buat sementara waktu.
"Hal kerana keadaan ombak yang mencecah sehingga satu meter serta air pasang boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa memberi perhatian kepada setiap arahan yang dikeluarkan terutama mematuhi isyarat bendera merah.
Ujarnya, ibu bapa juga dinasihatkan agar memantau anak-anak supaya tidak bermain atau mandi manda di pantai.
Nik Mohd Nor memberitahu, jika berlaku kecemasan, maklum kepada petugas penyelamat pantai APM berhampiran dengan segera dan bukannya membuat tindakan sendiri.
"Kepada penduduk yang tinggal di tepi pantai pula perlu peka dengan info semasa terutama melibatkan air pasang besar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!