Lukaku cabar rekod Mokhtar Dahari

Lukaku - Foto EPA
Lukaku - Foto EPA
A
A
A

[DIKEMAS KINI] ROMELU Lukaku meledak empat gol untuk membantu Belgium menewaskan Azerbaijan 5-0 dalam aksi kelayakan Euro 2024 di Stadium King Baudouin pada Isnin.

Ketajaman bekas penyerang Manchester United itu sekali gus melonjakkannya ke tempat ketujuh sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 83 gol.

Lukaku meledak kesemua gol itu pada separuh masa pertama sebelum Leandro Trossard memastikan kemenangan bergaya Belgium pada penghujung perlawanan.

Belgium telah pun layak ke kejohanan Euro 2024 itu tetapi keputusan tersebut menyaksikan mereka mengesahkan tempat teratas Kumpulan F, satu mata di hadapan pencabar terdekat, Austria.

Lukaku kini menyamai rekod pemain Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ali Mabkhout selain turut mengatasi Robert Lewandowski dari Poland.

Dia hanya ketinggalan satu gol di belakang Ferenc Puskas dari Hungary dan enam gol di belakang legenda negara, Mokhtar Dahari.

Lukaku dijangka mampu untuk terus menambah jumlah jaringannya sebelum Euro 2024 bermula namun untuk mencabar kedudukan empat teratas dijangka sukar.

Sunil Chhetri dari India mengumpul 93 gol untuk berada di kedudukan keempat, manakala Lionel Messi telah menjaringkan 106 gol untuk Argentina pada kedudukan ketiga.

Artikel Berkaitan:

Ikon Iran Ali Daei kekal di tempat kedua dengan 109, manakala Cristiano Ronaldo terus gah selaku penjaring terbanyak di dunia dengan 128 gol.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!