Penerbit rancangan stesen televisyen didakwa terima RM18,000

Suhaila (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM18,000 daripada seorang individu pada 2019. - Foto Bernama
Suhaila (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM18,000 daripada seorang individu pada 2019. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM18,000 daripada seorang individu yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya pada 2019.

Suhaila Md Zaini, 44, ketua penolong pengarah sebuah stesen televisyen didakwa menerima wang itu daripada individu berkenaan yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai Penerbit Rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Timbalan Pengarah Seksyen Berita Radio, Bahagian Berita Ehwal Semasa, Wisma TV, Angkasapuri, di sini antara 17 April 2019 dan 5 Jun 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM7,000 serta syarat tambahan iaitu penyerahan pasport dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.

"Tertuduh sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 14 Nov lepas. Saya memohon untuk kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sana untuk dibicarakan bersama,” katanya.

Peguam Gurmit Singh Hullon yang mewakili tertuduh tidak membantah kedua-dua permohonan itu.

Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan pendakwaan dan memaklumkan tarikh sebutan akan ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

Pada 14 November lepas, Suhaila mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat pada 2018. - Bernama