Saiz dana pelaburan KWSP cecah RM1.1 trilion hingga 31 Ogos 2023 - Steven Sim
JUMLAH dana pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sebanyak RM1.1 trilion sehingga 31 Ogos, 2023, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim.
Katanya daripada jumlah itu purata pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah 64.9 peratus yang mana 24.4 peratus dalam ekuiti tersenarai domestik.
Selain KWSP, dana-dana pelaburan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) juga merangkumi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
"Bagi tempoh 2019 sehingga 31 Ogos, 2023, jumlah dana pelaburan PNB adalah RM332 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 84.3 peratus yang mana 74.4 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.
"Manakala bagi dana pelaburan KWAP pula, bagi tempoh itu ia berjumlah RM167 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 79.3 peratus yang mana 45.2 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.
"Bagi dana pelaburan LTH, sehingga 31 Ogos, 2023, ia berjumlah RM91 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 90.1 peratus yang mana 18.3 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.
"Sehingga 31 Ogos, 2023, jumlah dana pelaburan LTAT adalah RM10.5 bilion dengan keseluruhan dana dilaburkan dalam pasaran domestik yang mana 52 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin mengetahui tentang jumlah pelaburan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan GLIC di Malaysia dan di luar negara dan adakah keseluruhan pelaburan tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menguatkan pasaran ekuiti Malaysia.
Steven berkata, sepanjang tempoh 2019 hingga 31 Ogos, 2023, sebahagian besar atau lebih 60 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam pasaran domestik.
Berdasarkan peruntukan aset strategik, secara purata antara 15.8 peratus hingga 62.7 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam ekuiti tersenarai domestik di Bursa Malaysia.
Selain itu, beliau berkata, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) pula selaku pengurus dana kekayaan negara telah membuat pelaburan domestik sebanyak RM9.2 bilion dalam tempoh 2019 sehingga 2022 dan ia bersamaan 32.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang bernilai RM28.3 bilion.
"Dalam hal ini, peranan Khazanah tertumpu untuk mewujudkan nilai tambah melalui 'active stewardship' dalam syarikat pelaburannya untuk menyokong dan mengukuhkan nilai pasaran syarikat.
"Di samping itu, tumpuan Khazanah juga adalah kepada aset strategik dan aset pembangunan seperti sektor penerbangan dan pelancongan yang menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Sehingga 31 Disember 2022, jumlah portfolio pelaburan Khazanah dengan Nilai Aset Boleh Direalisasikan adalah sebanyak RM122.5 bilion dan daripada jumlah berkenaan, nilai pasaran pegangan Khazanah dalam negara adalah berjumlah RM81.2 bilion atau 66.3 peratus.
Berkenaan GLC, beliau berkata, pelaburan syarikat lebih tertumpu kepada perbelanjaan modal domestik bagi mengembangkan syarikat termasuk pembelian aset untuk perniagaan dan operasi syarikat dengan sebahagian besarnya adalah syarikat seperti Tenaga Nasional Bhd, Malaysian Airport Holdings Bhd dan Telekom Malaysia Bhd yang merupakan anak syarikat Khazanah Nasional Bhd.
Kementerian Kewangan juga turut menyokong saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya GLIC meningkatkan pelaburan dalam negara.
"Kementerian percaya bahawa berdasarkan peruntukan aset strategik masing-masing, GLIC akan kekal komited membuat pelaburan dalam negara termasuk di Bursa Malaysia yang mana, penyertaan GLIC dilihat berupaya memperkukuh pasaran ekuiti tempatan,” katanya.
Setakat 25 September 2023, saiz pasaran ekuiti Malaysia bernilai RM1.78 trilion, iaitu peningkatan sebanyak RM42.68 bilion atau kira-kira 2.5 peratus berbanding RM1.74 trilion pada 31 Dis, 2022.
Penyertaan GLIC dalam pasaran ekuiti di Malaysia mewakili 7.7 peratus daripada jumlah purata nilai dagangan harian dengan sektor tumpuan seperti perbankan, industri berkaitan komoditi dan lain-lain.
Berdasarkan data daripada Bursa Malaysia dalam Dokumen Tinjauan Ekonomi 2024 oleh Kementerian Kewangan, prestasi urus niaga pada tahun ini setakat 31 Ogos, 2023 adalah lebih baik berbanding tahun lalu.
Ia khususnya dari segi peningkatan bilangan unit yang diurus niaga iaitu jumlah bilangan unit urus niaga meningkat sebanyak 14.4 peratus daripada 489.4 bilion unit kepada 559.6 bilion unit dan purata urus niaga harian juga meningkat 15.1 peratus daripada 3 bilion unit kepada 3.5 bilion unit. - Bernama
Parlimen, GLC, GLIC, Steven Sim, dana pelaburan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!