'Skim pelaburan tidak wujud tawar 51 kali ganda keuntungan'

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seorang kerani wanita di sebuah bank kerugian RM585,700 setelah terpedaya dengan skim pelaburan MIDA yang tidak wujud, pada bulan lalu. Gambar kecil: Ramli
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seorang kerani wanita di sebuah bank kerugian RM585,700 setelah terpedaya dengan skim pelaburan MIDA yang tidak wujud, pada bulan lalu. Gambar kecil: Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesan skim pelaburan tidak wujud menawarkan keuntungan sehingga 51 kali ganda dalam tempoh tiga hingga enam jam menggunakan nama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan dilakukan susulan laporan media berkaitan seorang wanita di Melaka mengalami kerugian RM585,700 selepas terpedaya dengan pelaburan tersebut.

"Siasatan lanjut mendapati sindiket penipuan tersebut mula beroperasi sekitar Oktober tahun lalu melalui media sosial antaranya Facebook, WhatsApp, Telegram dan Tiktok.

“Sindiket ini menawarkan pelaburan saham, mata wang digital dan dana geran menggunakan nama MIDA, lima pakej pelaburan ditawarkan melalui pakej serendah RM300 hingga RM2,000,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JSJK, di sini, pada Isnin.

Ramli berkata, pihaknya setakat ini menerima sebanyak 28 laporan polis dari seluruh negara dengan nilai kerugian RM1.24 juta.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, pihak MIDA telah mengeluarkan amaran berkenaan penipuan pelaburan yang menggunakan nama agensi tersebut melalui laman Facebook rasmi mereka pada 9 November tahun lalu.

"Amaran yang sama turut dimuat naik di laman sesawang https://www.mida.gov.my/ms/perihal-mida/scam-alert/,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Kerani bank kerugian lebih RM500,000 ditipu skim pelaburan tidak wujud

Pada 9 November lalu, media melaporkan seorang kerani bank mengalami kerugian sebanyak RM585,700 setelah terpedaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai perunding pelaburan MIDA.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi dilaporkan berkata, mangsa seorang wanita berusia 52 tahun sanggup menggunakan wang simpanan Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta menggadaikan barang kemasnya.

Kejadian berlaku selepas mangsa dihubungi sindiket berkenaan melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Oktober lalu yang menawarkan pulangan keuntungan bernilai RM15,467 dalam tempoh tiga hingga enam jam dengan modal serendah RM300.

Kerani bank itu kemudian membuat transaksi RM300 ke dalam satu akaun milik seorang lelaki.

Mangsa yang menyangka telah memulakan pelaburan di bawah MIDA kemudian melakukan 64 transaksi pemindahan wang ke dalam 31 pemilik akaun berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM585,400.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!