Mahkamah tolak semakan kehakiman Kayveas batal pelantikan Maglin
KUALA LUMPUR - Tan Sri M. Kayveas pada Isnin gagal memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan pelantikan Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (myPPP).
Peguam Persekutuan Muhammad Hairuliqram Hairuddin mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika dihubungi berkata, Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Kayveas, 69, menerusi e-mel.
Peguam Syereen Tang, yang mewakili Kayveas mengesahkan perkara itu.
Pada 2 Ogos lepas, AGC membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman antaranya atas alasan isu dibangkitkan oleh Kayveas tidak boleh disemak melalui semakan kehakiman kerana bertentangan dengan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 selain mahkamah tiada bidang kuasa untuk menyemak isu berkaitan parti.
Kayveas, 69, memfailkan permohonan itu pada 7 Julai lepas dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) sebagai responden pertama dan kedua.
Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan kedua-dua responden gagal mengambil kira bahawa Mesyuarat Agung Tahunan Ke-67 diadakan pada 19 Mac lepas yang melantik Maglin sebagai Presiden myPPP adalah tidak sah berikutan 13 individu yang hadir pada mesyuarat itu dilucutkan keahlian mereka berkuat kuasa 25 April 2018.
Beliau antara lain memohon deklarasi bahawa Mesyuarat Agung Tahunan itu adalah tidak sah selain mendakwa pelantikan Maglin sebagai Presiden MyPPP tidak sah kerana melanggar Perlembagaan myPPP.
Ahli politik veteran itu juga memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri melalui surat bertarikh 11 April lepas yang meluluskan rayuan pembatalan pendaftaran parti tersebut.
MyPPP dibatalkan pendaftarannya pada 14 Januari 2019. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!