MetMalaysia ramal angin kencang, ombak setinggi 3.5m landa negara
PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mengingatkan komuniti nelayan supaya waspada dengan fenomena angin kencang dan ombak setinggi 3.5 meter yang boleh membahayakan keselamatan mereka jika turun ke laut ketika ini.
Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, perkara tersebut turut ditujukan kepada komuniti perkapalan, industri cari gali minyak serta penggemar aktiviti rekreasi laut atau di pesisir pantai.
"Susulan itu kita menyeru agar semua kumpulan yang terlibat ini meningkatkan tahap kewaspadaan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
"Hal ini kerana, ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan amaran angin kencang bertiup pada kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencecah 3.5 meter sedang melanda negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, pada masa sama fenomena pasang besar turut diramalkan bermula pada Ahad hingga 31 Disember ini perlu turut diberikan perhatian.
Ujarnya, Maritim Malaysia Kelantan sudah melaksanakan pelbagai aktiviti seperti perjumpaan dengan komuniti dan rondaan pesisir laut bermula dari pantai Tok Bali sehingga pantai Sri Tujuh bagi memantau situasi semasa.
Syed Nor Adli memberitahu, komuniti maritim perlu sentiasa menyemak ramalan kaji cuaca melalui aplikasi 'myCuaca' bagi mengetahui perkembangan terkini cuaca.
Tambah beliau, mereka juga diingatkan untuk memakai jaket keselamatan dan membawa Personal Locator Beacon (PLB) sekiranya berhasrat atau perlu untuk ke laut.
"Saya pohon mereka yang akan ke laut supaya memaklumkan kepada ahli keluarga serta orang terdekat atau pihak kami tentang masa dan lokasi ketika berada di laut nanti.
"Pastikan alat komunikasi dibawa dan berfungsi dengan baik bagi memudahkan perhubungan sekiranya menghadapi sebarang masalah ketika di laut.
"Sekiranya terdapat sebarang kecemasan di laut, hubungi Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-7780070 atau Malaysia Emergency Response Services (MERS) di talian 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.
Dalam perkembangan lain, Syed Nor Adli memberitahu, sebagai persiapan menghadapi fasa-fasa monsun, cuti pegawai dan anggota Maritim Malaysia Kelantan turut dibekukan untuk memaksimumkan bantuan sekiranya diperlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!