ADUN pembangkang cadang peruntukan diberi tanpa diskriminasi

Foto hiasan. Gambar kecil: Zulkefli Bakar
Foto hiasan. Gambar kecil: Zulkefli Bakar
A
A
A

GEORGE TOWN - Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang mengutarakan cadangan agar tiada sebarang diskriminasi terhadap peruntukan yang diberikan kepada wakil rakyat pembangkang.

Zulkefli Bakar (Bersatu-Penanti) berkata, peruntukan yang diberikan harus diberi secara sama rata demi kemajuan Pulau Pinang.

Menurutnya, sekiranya peruntukan diberikan tidak mencukupi, ia akan menyukarkan wakil rakyat menjalankan tanggungjawab mereka di kawasan masing-masing.

"Perkara yang paling perlu diberikan penekanan adalah mengenai peruntukan. Peruntukan yang diberikan wajar dibuat tanpa sebarang diskriminasi.

"Perkara ini amat penting kerana demi kemajuan Pulau Pinang, pengagihan dari segi kewangan dan peluang yang diberikan harus sama rata dan adil kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUN) ke-15 di sini.

Tambah beliau, jurang dari segi ekonomi dan bantuan juga perlu dijalankan tanpa pilih kasih.

"Bantuan yang diberikan di kawasan pulau dan kawasan tanah besar di Pulau Pinang perlu ditangani dengan cekap.

Artikel Berkaitan:

"Tanah besar Pulau Pinang adalah gerbang untuk pengunjung yang datang ke negeri ini menggunakan laluan darat, tidak kira dari utara mahu pun selatan," katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengesahkan bahawa ADUN pembangkang di Pulau Pinang akan menerima jumlah peruntukan tahunan yang sama iaitu RM60,000 daripada kerajaan negeri pada tahun hadapan.

Sementara itu, beliau berkata, wakil rakyat kerajaan negeri akan menerima RM500,000 setahun, seperti yang diberikan sebelum ini.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang tidak berhasrat untuk menambah jumlah peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dalam Bajet 2024 yang dijangka dibentangkan pertengahan bulan ini.

Kon Yeow menambah, kerajaan negeri tidak bercadang untuk berbincang dengan ADUN Pembangkang berhubung isu pemberian peruntukan lebih seperti yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Zulkefli turut meminta kerajaan negeri melonggarkan sekatan terhadap ceramah agama di negeri ini.

"Baru-baru ini, beberapa ceramah agama telah disekat tanpa dimaklumkan sebab yang kukuh. Sekatan yang dibuat terhadap penceramah bebas harus dilonggarkan.

"Penceramah-penceramah telah memaklumkan bahawa di negeri lain, mereka tidak menghadapi masalah seperti di Pulau Pinang.

"Perkara ini amat sensitif dan harus dipertimbangkan dengan teliti sebelum melakukan sebarang sekatan kerana akan menimbulkan kemarahan rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!