[VIDEO] 'Pulanglah Siti Mariah...'
PADANG TERAP - [DIKEMAS KINI] Pasangan suami isteri di Kampung Sireh, Naka, dekat sini buntu dengan misteri kehilangan anak mereka yang gagal dihubungi dan dikesan sejak lapan tahun lalu.
Difahamkan, kali terakhir Siti Mariah Hamzah, 39, berhubung dengan ibunya, Che Safuan Abd Rahman, 61, sebelum Januari 2016 dan memaklumkan membeli baju di Nilai, Negeri Sembilan untuk dipakai pada majlis perkahwinan rakannya.
Bapanya, Hamzah Said, 65, berkata, sejak panggilan itu, anak sulung daripada empat adik-beradik itu gagal dihubungi sehingga ke hari ini.
Menurutnya, mereka sekeluarga tidak tahu apa masalah yang dihadapi oleh Siti Mariah sehingga hilang tanpa khabar berita.
"Kami buat laporan polis pada 23 Julai 2016 selepas tidak dapat kesan atau hubungi Siti Mariah.
"Kami juga ada pergi ke rumah sewanya di Bukit Kerinchi di Kuala Lumpur selepas setahun membuat laporan polis tapi rakan di rumah sewanya beritahu dia sudahpun berpindah keluar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sireh, di sini pada Isnin.
Jelas Hamzah, Siti Mariah sebelum ini memaklumkan dia mahu mencari kerja di Kedah kerana kontraknya di sebuah bank hampir tamat pada 2015 dan mahu tinggal berdekatan dengan keluarganya di kampung.
"Dia bekerja di sebuah bank di ibu negara selepas menamatkan pengajian dalam bidang kaunseling di Universiti Malaysia Sarawak pada tahun 2007," katanya.
Sementara itu, Che Safuan mengakui kehilangan Siti Mariah tanpa berita menimbulkan 1,001 persoalan kepada mereka sekeluarga yang disifatkan sebagai anak yang suka membantu ibu bapa dan adik-beradik lain.
Menurutnya, Siti Mariah banyak membantu keluarga dan membeli baju raya kepada mereka sekeluarga setiap kali tiba sambutan Aidilfitri.
"Kadang-kadang selalu terfikir apa yang membuatkan along (Siti Mariah) menghilangkan diri dan langsung tidak hubungi kami.
"Kami bimbang jika dia ada terkecil hati tapi sebelum itu hubungan kami baik dan tidak ada perbalahan pun," ujarnya.
Tambahnya, beberapa helai baju milik Siti Mariah akan dipegang dan dipeluknya bagi melepaskan kerinduan jika tiba-tiba teringat kepada anak sulungnya itu.
"Siti Mariah pulanglah ke rumah mak, ayah. Kami tunggu di rumah siang dan malam. Pulanglah Siti Mariah ke rumah tempat mu lahir dan membesar. Semua orang nak jumpa mu," kata Che Sapuan merayu kepulangan anak perempuannya itu.
Bagi mereka yang mempunyai maklumat berhubung Siti Mariah boleh menghubungi adik bongsunya, Mohd Nizam Hamzah di talian 01124191346.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!