Penduduk Aceh usir pelarian Rohingya
BANDA ACEH - Sebanyak tiga bot yang sarat membawa lebih 500 pelarian Rohingya yang diusir penduduk beberapa hari lalu mendarat di wilayah paling barat Indonesia pada Ahad.
Ia merupakan ketibaan terbesar golongan itu di negara tersebut sejak junta tentera Myanmar melancarkan tindakan kekerasan terhadap kumpulan minoriti berkenaan pada 2017.
Angka itu menjadikan jumlah pelarian Rohingya yang telah mendarat di wilayah Aceh sepanjang minggu lalu mencecah lebih 800 orang.
Sejurus tiba di pantai Bireuen, kumpulan yang juga terdiri daripada wanita dan kanak-kanak itu kemudiannya ditempatkan di pusat perlindungan sementara menunggu keputusan pihak berkuasa.
Negara seberang kini berdepan krisis pelarian terbaharu selepas dua bot membawa pelarian ratusan pelarian Rohingya mendarat di pantai timur Aceh pada awal minggu lalu.
Tetapi, bot ketiga yang membawa kira-kira 249 penduduk minoriti Muslim itu kurang bernasib baik setelah kehadiran mereka tidak disenangi penduduk tempatan di Bireuen.
Kumpulan pelarian itu tidak berputus asa dan masih cuba mendarat di Muara Batu dan dibantu beberapa nelayan dengan mengagihkan bungkusan makanan serta air botol kepada mereka.
Tidak lama selepas itu, golongan itu sekali lagi diusir dan dipaksa kembali ke bot mereka oleh penduduk setempat hingga menyebabkan keadaan menjadi agak huru-hara dengan tangisan kumpulan tersebut yang merayu supaya tidak dihalau semula ke laut.
Situasi kini berbeza berbanding sebelum ini berikutan penduduk Aceh biasanya menyambut kedatangan pelarian Rohingya selain bersimpati dengan nasib mereka yang berada di laut dan melalui perjalanan berbahaya selama berbulan-bulan.
Penyelaras Suruhanjaya untuk Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (KontraS) Aceh, Azharul Husna memaklumkan kawasan itu menyaksikan ketibaan kira-kira 30 bot antara 2009 dan 2023.
"Jumlah itu telah meningkat secara mendadak sejak insiden rampasan kuasa di Myanmar pada Februari 2021. Sebelum ini, kita hanya melihat satu atau dua ketibaan dalam setahun. Tetapi, kini ia lebih kerap kepada empat atau lima bot setahun," ujarnya.
CROSSHEAD: Enggan lagi tanggung beban
Ketibaan golongan itu lazimnya memuncak bermula bulan November hingga Februari kerana musim monsun membawa tiupan angin kuat yang akan menggerakkan bot lebih cepat menyeberangi Laut Andaman dari Bangladesh.
Pakar pelarian menjangkakan lebih banyak bot akan tiba dalam tempoh beberapa bulan akan datang memandangkan keadaan yang semakin meruncing di kem penempatan terbesar golongan itu di Dhaka dan konflik bersenjata yang tiada kesudahan di Yangon.
Sementara itu, KontraS Aceh memberitahu salah satu isu adalah pemerintah Indonesia dikatakan tidak mempunyai pelan komprehensif untuk menangani kemasukan golongan tersebut walaupun dekri presiden pada 2016 menetapkan kerajaan akan bekerjasama dengan pertubuhan antarabangsa bagi menguruskan perkara berkenaan.
Perkara 9 Dekri Presiden Indonesia secara jelas menyatakan pelarian yang ditemui dalam situasi kecemasan di laut akan diberi bantuan segera dan dibenarkan mendarat di pantai negara itu jika mereka berada dalam bahaya.
Difahamkan, Jakarta bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967.
"Apabila pemerintah terus berdiam diri dan masalah ini berlarutan dan menyebabkan insiden pengusiran berlaku. Ia amat membimbangkan. Ia jelas menunjukkan kekurangan empati dan komitmen negara untuk menegakkan hak asasi manusia," kata Azharul lagi.
Lilianne Fan yang merupakan pengasas bersama pertubuhan kemanusiaan, Yayasan Geutanyoe juga senada dengan KontraS Aceh.
"Kami berasa kesal melihat layanan buruk ke atas pelarian Rohingya tersebut kerana sebelum ini kedatangan mereka dialu-alukan penduduk setempat," ujarnya.
Beliau menjelaskan penolakan itu mungkin disebabkan beberapa faktor termasuk kejadian penduduk tempatan dihukum malah dipenjarakan kerana didakwa terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia setelah membantu pelarian Rohingya.
Pada Khamis lalu, Kementerian Luar Indonesia menegaskan ia tidak mempunyai kewajipan atau kapasiti untuk mencari penyelesaian berhubung penempatan semula golongan pelarian.
"Tempat berlindung sementara yang disediakan selama ini adalah atas dasar kemanusiaan. Ironinya, banyak negara yang menandatangani konvensyen pelarian menutup pintu mereka dan menggunakan pendekatan 'tolak semula' golongan tersebut.
"Kami cuba belajar daripada pengalaman. Kami mendapati rangkaian pemerdagangan manusia cuba mengeksplotasi kebaikan pemerintah yang menyediakan tempat perlindungan sementara kepada pelarian," kata jurucakap kementerian itu, Lalu Muhamad Iqbal. - Agensi
Info:
>Thailand dan Malaysia merupakan destinasi popular pelarian Rohingya walaupun kedua-dua negara bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
>Di Eropah di mana kebanyakan negara adalah penandatangan konvensyen itu bagaimanapun cuba menghalang golongan itu yang menaiki bot kecil daripada merentasi Mediterranean atau Selat Inggeris manakala Australia telah sekian lama mengekalkan dasar menolak ketibaan bot membawa pelarian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!