Muda cadang saringan ketat, awasi lantikan politik
SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mencadangkan kerajaan supaya menjalankan saringan ketat bagi individu yang dilantik ke jawatan tertinggi, demi memastikan ketelusan urusan negara tanpa menjejaskan integriti dan sebarang prejudis.
Timbalan Pengerusi Muda Putrajaya, Abdul Rahman Khairuddin berkata, menteri perlu mengawasi setiap lantikan politik dari bawah termasuk jawatan penghulu kampung sehingga peringkat ketua pengarah agensi.
“Ramai individu dalam kalangan penjawat awam mempunyai kriteria dan kredibiliti yang layak serta berkebolehan untuk jawatan tersebut terutama yang memfokuskan kepada pemerkasaan komuniti.
“Janganlah kita meremehkan perkara ini kerana rakyat sentiasa mengukur dan menilai prestasi semasa Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Abdul Rahman, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa meminta kepada reformasi, maka ini saatnya untuk membuktikan komitmen terhadap kestabilan dan kemajuan negara.
“Apa yang penting bagi warga penjawat awam khusus di Putrajaya untuk melindungi integriti institusi negara dalam menghadapi dinamik politik,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Abdul Rahman, sistem dan institusi yang dijunjung tinggi boleh mengalami kecelaruan apabila lantikan politik berlaku.
“Kita perlu peka terhadap kemungkinan adanya agenda politik yang mungkin tidak selari dengan aspirasi rakyat secara keseluruhan,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!