14 pelajar separuh masa DOSM bergraduasi serentak di UUM
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Perangkawan Malaysia, pegawai-pegawai ini merupakan pelajar MEc. di bawah program pengajian kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan UUM melalui inisiatif Persatuan Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (PPJPM).
Seorang pegawai turut telah ditauliahkan Ijazah Sarjana Ekonomi pada Majlis Konvokesyen Kali ke-35UUM yang lalu dan seramai 6 orang bakal sarjana akan dianugerahkan pada sesi konvokesyen akan datang.
Kerjasama program pengajian peringkat sarjana dengan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), UUM yang julung kali dilaksanakan ini bertujuan mendaya upaya bakat sebagai teras utama untuk memperkasa warga DOSM agar berpengetahuan tinggi, kompeten, kreatif, inovatif, berintegriti dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teras terutamanya bidang ekonomi.
Inisiatif program pengajian ini yang disertai seramai 25 pegawai daripada pelbagai gred jawatan telah dijalankan secara separuh masa dengan mod pembelajaran campuran yang melibatkan kerja kursus dan disertasi.
Cabaran besar semasa tempoh pengajian yang terjejas kesan daripada penularan wabak COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pelbagai peringkat sehingga sesi pengajian terpaksa ditangguhkan dan kembali beroperasi secara atas talian dan bersemuka pada awal 2021 tidak mematahkan semangat pelajar untuk menamatkan pengajian.
Semangat dan komitmen semua pegawai ini dalam mengimbangi tanggungjawab tugas rasmi sebagai penjawat awam yang berkhidmat di DOSM dan juga sebagai pegawai kader DOSM di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan diharapakan diteruskan dengan memanfaat ilmu yang dipelajari kepada kompetensi diri dan organisasi.
Kejayaan ini merupakan satu tanda aras pencapaian yang signifikan bagi kerjasama strategik DOSM dan UUM dalam bidang pendidikan pasca siswazah bagi membina kapasiti modal insan DOSM.
Mengambil semangat dan kejayaan program pengajian Sarjana Ekonomi (MEcUUM-DOSM) edisi pertama berkenaan, kajian dan pertimbangan lanjut akan dilaksanakan untuk meneruskan program pengajian sarjana ekonomi dengan mengambil kira pengalaman pembelajaran program yang telah berlangsung.
Terdapat peluang dan ruang untuk memperluaskan program bidang pengajian ijazah sarjana kepada Pusat Pengajian yang menawarkan bidang strategik yang baharu seperti data analitik dan sains kuantitatif.
Program sebegini juga diharap dapat meneruskan pelaksanaan kerjasama strategik antara DOSM dan UUM atas platform Pengukuhan Sistem Statistik Negara, Pelan Strategik UUM dan DOSM, Pelan Strategik ILSM dan juga pemerkasaan kapasiti modal insan DOSM.
Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pegawai DOSM yang bergelar Graduan Sarjana Ekonomi pada Majlis Konvokesyen UUM ke-36.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan; Dekan SEFB, Prof Madya Dr Bakti Hasan Basri; seluruh ahli akademik dan barisan pengurusan SEFB UUM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!