Jangan biarkan saudara Muslim disakiti
SEORANG Islam dengan Muslim yang lain bagaikan satu jiwa. Mudah kata, kita sebenarnya bersaudara.
Dalam sebuah hadis juga menekankan perkara itu sehinggakan seseorang dianggap tidak sempurna imannya sehingga dirinya benar-benar mengasihi saudaranya seperti diri sendiri.
Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Apabila melihat saudara Muslim kita dizalimi, maka menjadi kewajipan kepada setiap penganut agama Islam untuk membantu mereka.
Demikian yang dikongsikan akaun platform X @HakazaSunnah.
Bahkan, Pengasas Hakaza Sunnah yang dikenali sebagai Ibn Ramzi menegaskan, tindakan berdiam diri atau membiarkan saudara Muslim disakiti merupakan perbuatan yang tercela.
“Apatah lagi ketika kita menyokong perbuatan orang yang menzalimi saudara Muslim kita,” katanya menerusi ciapan di akaun media sosialnya.
Ia selari dengan sabda Nabi Muhammad SAW: “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi.” (Sahih al-Bukhari)
Melihat ungkapan hadis berkenaan, Ibn Ramzi yang juga seorang penulis berkata, ia jelas memberikan peringatan penting kepada kita agar sentiasa menghulurkan bantuan kepada saudara kita yang dizalimi.
Ia memberikan gambaran untuk membantu saudara kita dengan bantuan mengikut kemampuan masing-masing, ungkapnya.
“Tidak kiralah menghulurkan sumbangan waima kewangan, tenaga, kuasa, boikot atau segalanya.
“Maka tolonglah saudara kita walaupun sedikit. Sekalipun sekadar kita membenci dengan hati akan perbuatan kezaliman yang dilakukan ke atas mereka.
“Kepada mereka yang masih merasakan perbuatan membantu saudara Islam sebagai sesuatu yang tidak perlu, maka tanyakan kepada diri kita, jika ibu atau keluarga kita dizalimi, apakah perasaan kita?,” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!