Tun M yakin kuasa boikot umat Islam tekan rejim Zionis
CYBERJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin kuasa boikot umat Islam yang dianggarkan berjumlah 1.7 bilion di seluruh dunia terhadap barangan Israel akan menekan rejim Zionis.
Beliau berkata, seandainya tidak semua umat Islam memboikot sekali pun dan hanya segelintir berbuat demikian ia juga sudah mampu untuk membuka mata Israel.
"Kalau separuh atau suku daripada mereka (umat Islam) berhenti minum (minuman popular negara Israel dan memboikot semua barangan keluaran negara itu), saya yakin Israel akan faham kekuatan yang ada pada orang Islam.
"Kita perlu tolak (semua barangan buatan Israel) dan mesti berusaha sedaya upaya untuk 'mendera' orang Israel ini kerana kejahatan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bicara Khas Negarawan bersama beliau dan Penaung Aid4Palestine, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena majlis serahan dana Aid4Palestine di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi Aid4Palestine, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, senarai semua produk keluaran Israel sebelum ini telah disebarkan kepada orang ramai terutamanya menerusi platform media sosial.
"Saya bersyukur kerana saya tak minum lagi kopi (dari jenama yang berasal dari Israel), saya pergi ke kedai lain dan rupa-rupanya kopi itu lagi sedap," ujarnya.
Dr Mahathir memberitahu, beliau juga berbangga dan mengalu-alukan usaha Aid4Palestine menggumpul dana untuk disalurkan kepada Palestin kerana ia dapat membantu rakyat negara itu yang menjadi mangsa ketidakadilan dan kezaliman Israel dan sekutu-sekutunya seperti Amerika Syarikat, United Kingdom serta negara Eropah lain.
"Kita bergerak mungkin tidak begitu kuat, tidak dapat hantar tentera untuk lawan dengan Israel tetapi sedikit sebanyak kita boleh tolong rakyat Palestin dengan beri bantuan selain kita boleh boikot barangan Israel," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!