'Sejak ada benteng, terpaksa letak bot jauh'

Benteng penahan ombak di Kuala Kemasik
Benteng penahan ombak di Kuala Kemasik
A
A
A

KEMAMAN - Nelayan di Kemasik di sini meluahkan rasa kecewa kerana pembinaan benteng yang didakwa tidak efisien menyukarkan pergerakan bot selain menjejaskan aktiviti menangkap ikan di laut.

Rata-rata nelayan yang ditemui Sinar Harian mengharapkan supaya wakil rakyat yang dipilih nanti dapat menyelesaikan isu yang membelenggu mereka sejak lima tahun lepas.

Seorang nelayan, Zuaimi Mat Ali, 59, berkata, runtuhan batu yang dijadikan benteng ombak telah menyempitkan laluan sehingga menyebabkan bot susah untuk keluar masuk ke muara berkenaan.

"Masalah utama ialah benteng...susah nak bawa bot keluar masuk. Sejak ada benteng ini, kita terpaksa letak bot jauh dari pengkalan nelayan.

"Risiko letakkan bot jauh menyebabkan banyak jadi rosak dan pecah akibat dipukul ombak pada waktu malam.

"Jalan penyelesaian adalah korek pasir dan dalamkan muara tersebut. Kita harap pembinaan benteng itu dapat dibaiki dengan baik dan sempurna," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Nelayan, Mohd Nong Yunus, 66, berkata, benteng yang dibina tidak dapat menghalang hakisan malah menyebabkan kemusnahan jeti dan tempat nelayan berkumpul.

Raja Mohamed Affandi beramah mesra bersama golongan nelay
Raja Mohamed Affandi beramah mesra bersama golongan nelay

Artikel Berkaitan:

"Di sini ada lebih 100 nelayan yang mencari rezeki di laut.

"Kita harap wakil rakyat dipilih nanti dapat selesaikan masalah ini. Kalau boleh dalamkan muara tersebut serta bina benteng pemecah ombak yang lebih baik dan berkesan," ulasnya.

Seorang lagi nelayan, Karim Jusoh, 70, mengatakan dia terpaksa menanggung kerugian sendiri apabila bot miliknya rosak akibat terlanggar batu ketika air surut.

"Kita minta baiki muara Kemasik itu. Apabila air pasang dan surut susah nak keluar masuk malah bot pula rosak serta pecah sebab terlanggar batu dab beting pasir," ujarnya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, beliau akan meneliti cadangan tersebut selain bersedia mengangkat masalah berkenaan kepada pihak berkaitan sekiranya terpilih.

"Saya ambil maklum sebab perkara ini memerlukan fakta lebih terperinci untuk kita buat yang lebih baik," ujarnya.

Sebelum itu, Raja Mohamed Affandi meluangkan masa selama satu jam bertemu serta beramah mesra bersama golongan nelayan di sekitar Pantai Tanjung Kuala Kemasik dekat sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!