Tanda harga buat Rice gugup
DECLAN Rice menyifatkan perpindahan mega ke Arsenal dari West Ham United menyebabkan dia berasa sangat gugup.
Malah ketika pemain tengah itu tiba di London Utara, dia mengetahui The Gunners di bawah kepimpinan Mikel Arteta akan mengharapkan impak segera dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, Arsenal menandatangani pemain antarabangsa England berusia 24 tahun itu pada Julai dengan harga lebih 100 juta pound (RM599.32 juta) untuk pemain tengah England itu, perpindahan rekod antara dua kelab British, mengatasi Aston Villa yang dibayar Manchester City untuk Jack Grealish pada 2021.
“Apabila pemindahan itu berlaku, saya akui sangat gugup kerana tanda harga saya. Anda seorang manusia yang dibeli dengan harga lebih 100 juta pound, ia tidak berasa sangat normal. Tapi itu yang saya telah lakukan di West Ham, apabila mereka hargai saya.
“Ya, lebih 100 juta pound, ia wang yang banyak, saya dapat memahami tekanan yang datang bersama tanda harga tersebut.
“Bukan sahaja tekanan yang anda berikan kepada diri sendiri tetapi juga harapan tinggi dibeli bersama dengan wang sebanyak itu, kelab perlu melihat keberhasilan dengan segera. Mereka telah melabur banyak wang dalam diri saya, saya perlu membuktikan mengapa boleh pergi ke sana dan mengubah keadaan,” kata Rice.
Dalam pada itu, Rice kini memahami mengapa rakan sepasukan England Grealish, yang memenangi treble dengan City musim lalu, bergelut pada mulanya selepas perpindahannya.
“Dia adalah pemain bola sepak 100 juta pound tetapi kerana dia tidak bermain sebanyak itu, ia mungkin sedikit berbeza untuknya,” tambah Rice.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!