Harimau Malaya tidak perkecilkan Taiwan

Pan-gon (kanan) pada sidang akhbar pra perlawanan pada Isnin. - Foto FB FAM
Pan-gon (kanan) pada sidang akhbar pra perlawanan pada Isnin. - Foto FB FAM
A
A
A

HARIMAU Malaya tidak memandang rendah kemampuan pasukan di ranking ke-152 dunia, Taiwan dalam aksi kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taipei pada Selasa.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, Taiwan sudah mengalami banyak peningkatan sejak pasukan itu dibimbing oleh Gary White selain rekod kebal The Blue Wings di laman sendiri ketika melayan kunjungan Malaysia.

Bagaimanapun, Pan-gon menjelaskan para pemainnya lebih bermotivasi dan 'laparkan' kemenangan untuk mengukuhkan sasaran mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

"Selepas mendapat keputusan baik (menentang Kyrgyzstan) di laman sendiri, untuk kami perlawanan menentang Taiwan adalah perlawanan penting.

"Kami juga tahu rekod Harimau Malaya di sini tidak begitu bagus dan kami hormati mereka. Tetapi, sejarah adalah sejarah. Kami akan hormati Taiwan seperti kami hormati sejarah. Tetapi, kami harus cipta sejarah kami tersendiri dan kami ada impian untuk pergi ke pusingan ketiga (kelayakan Piala Dunia).

"Saya tidak yakin Taiwan juga ada sasaran untuk ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia. Kami lebih ada kemahuan untuk pergi ke sana dan pasukan perlu menang perlawanan ini," katanya dalam sidang akhbar praperlawanan pada Isnin.

Rekod perlawanan di Stadium Perbandaran Taipei itu jelas memihak kepada tuan rumah dalam tiga aksi membabitkan kedua-dua pasukan pada 2018, 2011 dan 2000.

Sebelum ini, Harimau Malaya mempamerkan kebangkitan dramatik untuk menundukkan pasukan di ranking ke-97 dunia, Kyrgysztan 4-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengendali Korea Selatan itu juga mengakui telah mengkaji corak permainan setiap pemain Taiwan dan akan menggunakan setiap maklumat tersebut dalam perlawanan tersebut.

"Jurulatih analisis kami telah memberikan banyak maklumat. Taiwan ada pemain naturalisasi, pemain yang beraksi di China dan beberapa pemain berpengalaman.

"Taiwan sentiasa mendapat perhatian saya apabila mereka sentiasa bekerja keras, disiplin dan memiliki fizikal yang baik juga.

"Saya tahu banyak bahagian karakteristik Taiwan dan setiap maklumat individu pemain kami telah analisis. Kami akan guna segala maklumat ini untuk perlawanan esok agar kami dapat raih kemenangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!