'Seolah-olah diberi peluang kedua' - Nora Ariffin
PENYANYI Datuk Nora Ariffin meluahkan rasa syukur apabila akhirnya dapat pulang ke rumah selepas 10 hari berada di hospital setelah mengalami sesak nafas baru-baru ini.
Ujar Nora atau nama penuhnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 50, beliau merasa seolah-olah diberi peluang kedua untuk hidup selepas diuji dengan masalah kesihatan yang tidak terjangka.
"17 November 2023, genap 10 hari saya berada di hospital, tiga hari di ICU (Unit Rawatan Rapi).
"Syukur seolah-olah diberi peluang kedua. ALLAH sahaja yang tahu," kongsinya menerusi hantaran di Instagram.
Tambah penyanyi yang hits menerusi lagu Naluri itu tidak sabar untuk kembali bekerja seperti biasa.
"Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang mendoakan saya, yang datang melawat, bertanya khabar, lakukan solat hajat.
"Alhamdulillah teruskan berdoa. Saya tak sabar untuk kembali bekerja seperti biasa," ujarnya.
Dalam hantaran sama, Nora turut merakamkan ucapan terima kasih pada doktor dan jururawat yang merawatnya serta keluarga yang setia menemaninya sepanjang dirawat di hospital.
"Terima kasih buat suami dan anak-anak tersayang kerana susah payah menjaga serta sudi bergilir-gilir jaga mama.
"Terima kasih buat semua jururawat, pengurusan serta doktor pakar yang merawat saya dengan baik," tuturnya.
Nora yang mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Dr Rushdi Ramli sebelum ini dikejarkan ke sebuah pusat perubatan selepas mengalami sesak nafas dan ditempatkan di ICU.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!