Taktik sembunyi dadah dalam pacuan empat roda terbongkar

S.Sasikala (tiga dari kiri) menunjukkan antara bungkusan berisi dadah yang dirampas dalam sidang akhbar Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor dekat sini pada Isnin.
S.Sasikala (tiga dari kiri) menunjukkan antara bungkusan berisi dadah yang dirampas dalam sidang akhbar Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor dekat sini pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Taktik kegiatan pengedaran dadah yang menjadikan sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk menyembunyikan sejumlah 191.5 kilogram dadah terbongkar selepas dua individu dicekup di kawasan Bukit Puchong di sini, Ahad lalu.

Dadah jenis methamphetamine bernilai RM6.32 juta itu dipercayai dibawa masuk daripada negara jiran menerusi kawasan pantai timur sebelum transit di kawasan Lembah Klang.

Kedua suspek warga tempatan yang diberkas itu dipercayai bertindak penghantar menerima bayaran antara RM5,000 hingga RM7,000.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 7.30 petang oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Subang Jaya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berumur 36 dan 32 yang bekerja sebagai mekanik dan buruh itu dilihat dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Alza di lokasi berkenaan.

"Siasatan dijalankan mendapati kedua-dua suspek mengaku terdapat sejumlah dadah diletakkan dalam sebuah kenderaan lain jenis Ford Ranger yang diparkir tidak jauh daripada kenderaan dinaiki mereka.

Antara dadah yang dirampas polis menerusi serbuan dan tangkapan di kawasan Bukit Puchong di sini, Ahad lalu.
Antara dadah yang dirampas polis menerusi serbuan dan tangkapan di kawasan Bukit Puchong di sini, Ahad lalu.

"Pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit terletak kira-kira 15 meter dari lokasi tangkapan itu kemudiannya menemukan lapan bungkusan mengandungi 190 plastik berwarna hijau berisi dadah dengan berat dianggarkan 191.5 kilogram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dekat sini pada Isnin.

Katanya, semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod berkaitan jenayah dan dadah.

"Ujian saringan dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Selain itu, polis turut menyita kenderaan jenis Perodua Alza yang dinaiki suspek untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek kini direman 10 hari untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati kesemua dadah ini dipercayai dalam proses untuk dibawa ke Kedah dengan menjadikan kawasan Lembah Klang sebagai lokasi transit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!