PKF2 platform kerjasama sektor pendidikan, korporat

Raja Arshad (tiga dari kiri), dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn (empat dari kiri) bergambar bersama ahli-ahli panel PKF2.
Raja Arshad (tiga dari kiri), dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn (empat dari kiri) bergambar bersama ahli-ahli panel PKF2.
A
A
A

SHAH ALAM - Forum Ilmu PNB 2023 (PKF2) menyasarkan pengumpulan idea dan pandangan jauh dalam membentuk model pembelajaran sepanjang hayat serta pembinaan ekosistem pendidikan baharu untuk masyarakat pada masa hadapan.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, program kali kedua anjuran PNB Research Institute Sdn Berhad (PNBRI) itu menampilkan empat institusi berbeza yang telah memberi impak ketara terhadap ekosistem pendidikan, modal insan dan pembangunan bakat termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Capital A Berhad - Akademi Air Asia, Akademi Arus dan Teach For Malaysia.

Ujar beliau, ia bertujuan menjadikan PKF2 sebagai platform yang memberi inspirasi kepada pembentukan kerjasama antara sektor pendidikan dan swasta serta menggalakkan penglibatan melangkaui sumbangan tanggungjawab sosial korporat tradisional.

“Orang kita dengan pantas menjadi masyarakat digital dengan peluang ekonomi baharu dan nilai yang dicipta berdasarkan model perniagaan secara digital.

"Apabila inovasi teknologi berlaku, 44 peratus kemahiran pekerja akan terganggu dalam tempoh lima tahun akan datang, perlunya pendekatan pembelajaran baharu dan kemahiran semula tenaga kerja sedia ada," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, ujar Raja Arshad, dalam sesi pivot forum tersebut, empat ahli panel itu berkongsi visi mereka dan huraian isu-isu utama berhubung tentang sistem pendidikan masa depan dan keperluan ekosistem berkenaan.

Menurutnya, antara tema yang dibincangkan termasuk teknologi dan kemanusiaan, ekuiti dan akses, kerjasama antara sektor swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perniagaan, menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat; kemahiran untuk masa depan, inovasi pengajaran, trend global dan ukuran kejayaan

“Banyak negara telah bertindak balas terhadap perkara ini dengan respon dorongan teknologi dan mempercepatkan peralihan digital dalam pendidikan walaupun keputusan dan hasil pendidikan yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

“Perbezaan tahap celik digital dan akses tidak sekata kepada sambungan peranti internet telah meningkatkan lagi ketidaksadaran dalam hasil pendidikan,” ujarnya.

Tambahnya, PKF2 dihadiri lebih 400 peserta terdiri daripada penggubal dasar kanan, kepimpinan utama, dan pengurusan kanan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat tersenarai awam, agensi pendidikan dan yayasan biasiswa.

“Turut hadir ialah penggubal dasar, ahli ekonomi, pengurus dana, bersama pelabur institusi dan pihak berkuasa kawal selia,” ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!