12 terbunuh dalam serangan tentera Israel di Hospital Indonesia di Gaza
BANDARAYA GAZA - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan ramai lagi cedera dalam serangan Israel ke atas Hospital Indonesia di utara Semenanjung Gaza pada Isnin, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Kesihatan wilayah itu.
Menurut kementerian berkenaan, nyawa beribu-ribu pesakit, kakitangan perubatan dan penduduk yang dipindahkan berada dalam risiko akibat pengeboman berterusan ke atas Hospital Indonesia itu.
Agensi Berita Palestin Wafa, sebelum ini melaporkan bahawa lapan orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas hospital berkenaan.
Terdapat 150 pesakit, 100 kakitangan perubatan dan beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal berada di kemudahan itu.
Saksi berkata, serangan oleh tentera penceroboh Israel menyebabkan hospital berkenaan terputus bekalan elektrik selepas generatornya tidak dapat berfungsi.
Sejak Israel mula mengebom Gaza pada 7 Oktober lepas, sekurang-kurangnya 13,000 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lebih 9,000 wanita dan kanak-kanak manakala lebih 30,000 lagi cedera, menurut angka terkini.
Beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid dan gereja turut rosak atau musnah akibat serangan udara dan darat yang berterusan.
Sekatan Israel juga menyebabkan Gaza terputus bekalan bahan api, elektrik dan air serta penghantaran bantuan berkurangan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!