Premier Sarawak bentang belanjawan negeri RM12.36 bilion bagi 2024

Abang Johari - Foto Bernama
Abang Johari - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg membentangkan belanjawan pengembangan bagi negeri itu dengan jumlah RM12.36 bilion untuk tahun depan, pada Isnin.

Beliau berkata, belanjawan itu mewakili peningkatan sebanyak 7.5 peratus daripada RM11.5 bilion yang disediakan untuk perbelanjaan mengurus dan membangun negeri bagi 2023.

"Belanjawan 2024 terus menjadi belanjawan pengembangan yang akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan seterusnya akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM7.8 bilion bagi tujuan pembangunan dan RM4.56 bilion sebagai perbelanjaan mengurus menerusi belanjawan bertemakan ‘Pembangunan Untuk Semua: Bersama, Membina Sarawak yang Makmur, Mampan dan Bersatu’ itu.

"Belanjawan itu akan terus menyediakan peruntukan kepada sektor utama untuk memacu pembangunan ekonomi dan akhirnya menjadikan ekonomi negeri makmur, teguh dan berdaya tahan,” katanya.

Abang Johari berkata, tumpuan kepada pembangunan kawasan luar bandar akan diteruskan.

"Usaha ini diperkukuh dengan menubuhkan sembilan agensi pembangunan wilayah, yang berperanan penting dalam memperkasakan masyarakat setempat melalui pendekatan terperinci sehingga yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak akan menyediakan bantuan kos sara hidup dalam beberapa aspek untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan, melabur secara bersasar dan terus melaksanakan program dan projek penting untuk manfaat rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah belanjawan terbesar yang pernah disediakan kerajaan Sarawak dalam sejarah, bukti kepada kejayaan kita merekayasa hasil negeri dan berjimat dalam pengurusan kewangan,” katanya.

Semasa membentangkan belanjawan itu pada persidangan DUN, jumlah belanjawan yang diumumkan adalah RM13.6 bilion.

Walau bagaimanapun, Pejabat Premier Sarawak kemudiannya dalam satu kenyataan memperjelas bahawa RM13.6 bilion itu adalah angka kumulatif yang merangkumi dana daripada sumber lain termasuk kerajaan Persekutuan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!