Warga emas lemas selepas terjatuh ketika memukat
ALOR SETAR - Kebimbangan seorang isteri apabila suami tidak pulang ke rumah selepas jam 7 malam terjawab apabila lelaki itu ditemukan lemas di Sungai Ular berhampiran Taman Merak, Kulim semalam.
Warga emas berusia 60 tahun itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dipercayai terjatuh ketika memukat di sungai berkenaan dan mayatnya dijumpai lebih kurang 50 meter dari lokasinya terjatuh pada jam 9 malam.
Ketua Polis Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.57 malam, sebelum pihaknya dibantu bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan gerakan mencari di kawasan sekitar tempat mangsa dipercayai terjatuh.
"Isteri mangsa memaklumkan suaminya sering ke sungai tersebut untuk menangkap ikan dengan menggunakan pukat.
"Pada hari kejadian, mangsa pergi seorang diri untuk memasang pukat kira-kira jam 6 petang dan kebiasaannya akan balik ke rumah sebelum jam 7 malam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Yusuf berkata, tiada unsur jenayah dikesan ke atas badan mangsa dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat lemas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!