[VIDEO] 'Saya sudah dedahkan siapa Mr H' - Mohammad Agus

A
A
A

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Identiti individu berjawatan tinggi dalam Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang digelar sebagai Mr H telah didedah kepada pihak polis.

Perkara tersebut dimaklumkan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff ketika ditemui pemberita selepas selesai memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

Datuk Mohammad Agus Yusoff (kanan) hadir bersama peguamnya pada Isnin untuk memberi keterangan di IPD Kajang. Foto: Bernama
Datuk Mohammad Agus Yusoff (kanan) hadir bersama peguamnya pada Isnin untuk memberi keterangan di IPD Kajang. Foto: Bernama

"Saya sudah dedahkan siapa Mr H dan menjawab apa yang patut dijelaskan kepada mereka (pegawai penyiasat polis) bagi siasatan selanjutnya.

"Saya juga dah buat laporan polis terhadap seorang pengguna TikTok, Raja Petra Kamarudin yang memuat naik video laporan polis sehingga terdedahnya maklumat peribadi dan saya kira itu bahayakan keselamatan diri serta keluarga.

"Agak mustahil macam mana dia (Raja Petra) boleh dapatkan laporan ini secara penuh dan saya minta polis lakukan siasatan dalaman," katanya pada Isnin.

Sebelum ini, Mohammad Agus dan Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani dalam sidang akhbar pada Jumaat menafikan video tular tersebut merupakan perbualan berbaur lucah dan songsang kerana mendakwa kandungan asal adalah rakaman tanpa audio.

Artikel Berkaitan:

Abdul Wahab berkata, video berdurasi tiga minit itu merupakan kandungan yang disunting dan komplot seorang individu bergelar Mr H untuk menjatuhkan kredibiliti, imej serta maruah Mohammad Agus.

Susulan itu, Mohammad Agus telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, peguam, Faizal Abd Rahman berkata, laporan polis pertama yang dibuat Mohammad Agus terdedah sepenuhnya kerana disyaki terdapat kebocoran maklumat di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)

"Kes ini disiasat sebagai jenayah terkelas, jadi macam mana laporan polis begitu penting boleh terdedah?

Kita tak nak buat apa-apa spekulasi tapi PDRM perlu bertanggungjawab sepenuhnya," ujar Faizal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!