Abdul Hadi selar negara Islam ada hubungan diplomatik dengan Israel

Abdul Hadi (tengah) sambil disaksikan Dr Mahathir (kiri) menerima replika cek bagi dana Aid4Palestin 2.0 daripada wakil badan bukan kerajaan (NGO) pada majlis penyerahan di Cyberjaya pada Isnin.
Abdul Hadi (tengah) sambil disaksikan Dr Mahathir (kiri) menerima replika cek bagi dana Aid4Palestin 2.0 daripada wakil badan bukan kerajaan (NGO) pada majlis penyerahan di Cyberjaya pada Isnin.
A
A
A

CYBERJAYA - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyelar segelintir negara Islam yang masih belum memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel ekoran kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Penaung Aid4Palestine itu berkata, keadaan berkenaan amat malang apatah lagi ketika ini ada negara bukan Islam sendiri telah menamatkan hubungan diplomatik dengan negara Yahudi tersebut.

"Negara Amerika Latin yang bukan sebuah negara Islam pun sudah putuskan hubungan diplomatik dengan Israel.

"Tetapi ada antara negara Islam yang masih ada hubungan diplomatik dengan Israel. Mereka masih 'agak malu-malu' untuk putuskan hubungan ini. Ini sangat malang," katanya.

Abdul Hadi berkata demikian pada Program Bicara Khas Negarawan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau sempena penyerahan dana Aid4Palestine di sini pada Isnin.

Abdul Hadi memberitahu, satu situasi politik yang sangat menarik berlaku ketika ini apabila isu Palestin mendapat simpati bukan sahaja umat Islam malahan masyarakat seluruh dunia yang masih ada sifat peri kemanusiaan.

"Kita lihat satu protes rakyat sangat hebat bukan sahaja dari negara Islam tetapi dari negara bukan Islam seperti di Amerika Syarikat (AS) sendiri yang (kerajaannya) paling kuat sokong Israel.

"Di England (pula protes makin meluas apabila demonstrasi (yang dilakukan) makin hari makin (melibatkan) ramai (peserta) dan dimaklumkan juga ada (segelintir) pemimpin bertindak meletak jawatan kerana protes," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, Malaysia perlu memanfaatkan gelombang protes masyarakat antarabangsa itu untuk terus membantu Palestin.

PASRelief menyerahkan replika cek untuk dana Aid4Palestine 2.0 berjumlah RM1 juta kepada Abdul Hadi (tengah) sambil disaksikan Dr Mahathir.
PASRelief menyerahkan replika cek untuk dana Aid4Palestine 2.0 berjumlah RM1 juta kepada Abdul Hadi (tengah) sambil disaksikan Dr Mahathir.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Abdul Hadi menerima replika cek dana Aid4Palestin keseluruhannya berjumlah RM2.4 juta sambil disaksikan Dr Mahathir untuk disalurkan kepada Palestin.

Pengerusi Aid4Palestine, Muhammad Khalil Abdul Hadi menjelaskan, sumbangan itu dari kutipan kempen Aid4Palestine 2.0 ekoran konflik terbaharu yang meletus di Gaza pada 7 Oktober lalu.

Katanya, bagi melancarkan gerak kerja penyaluran bantuan tersebut di Gaza, Aid4Palestine melantik tiga duta muhibah termasuk bekas imam Masjid Aqsa, Syeikh Dr Ikrimah Sabri dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

"Selain menyalurkan dana, kita juga menggesa beberapa solusi dibuat terhadap isu peperangan Israel-Palestin ini antaranya kita desak Kerajaan Mesir buka pintu sempadan mereka dan beri perlindungan kepada pelarian wanita dan kanak-kanak dari Palestin.

"Malaysia juga wajib memulakan tindakan undang-undang dengan mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!