[VIDEO] Pengayuh beca diminta pasang lagu tradisional, dondang sayang
MELAKA - Pengayuh beca di negeri ini diminta mengubah pemasangan lagu kepada muzik tradisional atau dondang sayang dalam memperkenalkan seni budaya kepada pelancong terutama yang datang dari luar negara.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penerapan elemen budaya itu penting dalam memperkenalkan Melaka sebagai negeri yang kaya dengan warisan dalam menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
"Mereka (pengayuh beca) ini sebagai duta kecil atau petugas barisan hadapan yang penting dalam menyambut tetamu datang ke negeri ini, jadi kita tidak mahu mereka memasang muzik yang terlalu kuat atau rancak sepanjang masa sehingga mengganggu dan mengundang ketidakselesaan penumpang.
"Kita juga ada menerima aduan mengenai perkara ini, justeru kita melihat pemilihan lagu kepada elemen tradisional ketika TMM2024 itu juga lebih sesuai dan ini antara syarat yang akan ditetapkan untuk membolehkan mereka mendapat lesen atau permit beca,” katanya kepada pemberita di Jalan Kota, Banda Hilir di sini pada Isnin.
Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Penyampaian Amanat Sempena TMM2024 dan Program Pembaharuan Lesen Beca Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 2024 yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Zaidi Attan dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri juga akan membiayai permit beca bagi tahun depan kepada lebih 370 pengayuh beca di negeri ini dan meminta semua pengayuh beca untuk mendaftar.
Dalam pada itu, Abdul Razak juga mengingatkan persatuan beca di negeri ini supaya mengenakan kadar bayaran kepada penumpang mengikut harga yang telah diselaraskan iaitu RM40 bagi satu jam perkhidmatan.
"Kita dapat lihat segelintir pengayuh beca mengenakan bayaran berbeza dengan harga tinggi kerana mereka merasakan sesetengah pelancong itu boleh diambil kesempatan.
"Kita tidak mahu perkara ini memberi imej yang tidak baik kepada pelancongan negeri. Jika mereka mahu selaraskan untuk kadar masa yang kurang sejam sebagai contoh RM25, semua pengayuh beca perlu mengenakan harga sama bukannya berbeza-beza,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!