Enam petinju luar negara bakal gegar Stadium Titiwangsa
ENAM petinju luar negara dari benua Asia dan Eropah menyahut cabaran dalam edisi ke-72 Kejohanan Grand Final Kuda Merah International World Muay Thai 2023 yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 25 dan 26 November ini.
Presiden Kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur, Rosli Yaacob, 59, berkata, peserta yang terlibat selain Malaysia terdiri daripada warganegara Itali, Laos, Indonesia, Maghribi, Afghanistan dan Thailand.
Menurut beliau, penganjuran sejak 2013 itu bertujuan menaik taraf kejohanan sukan Muay Thai tempatan ke peringkat antarabangsa, selari dengan usaha mempromosikan kalendar acara Cuti-Cuti Malaysia 2023.
“Sebelum ini, hanya ada dua petinju dari luar negara, tetapi kali ini agak berbeza kerana ada penglibatan enam lagi peserta.
“Kami sasar lebih daripada 5,000 penonton dari dalam dan luar negara akan hadir memenuhi stadium dalam dua malam perlawanan, tiket dijangka habis antara 7,000 hingga 8,000 keping dengan RM20 untuk pembeli terawal, manakala RM25 untuk harga biasa.
“Mereka yang menjuarai kejohanan kali ini kemudiannya akan dipilih untuk kembali beraksi di ‘Clash of Champion’ November tahun depan,” katanya ketika sidang media di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di Shah Alam pada Isnin.
Seramai 28 petinju hebat daripada 14 regu akan berentap merebut hadiah berupa 12 tali pinggang kejuaraan, dua tali pinggang juara pusingan dan piala berserta wang tunai.
Hadir sama ke sidang media tersebut ialah Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh; Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang, ahli kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur dan barisan pengamal media.
Kejohanan tersebut juga mendapat sokongan daripada penaja rasmi iaitu Tourism Malaysia dan kerjasama rakan strategik seperti Yayasan Bena Nusa, MSWP, Neutrovis, minuman kesihatan Celcius Live Fit, Neutrovis, Pasaraya Borong Sakan, Sany Char Koay Teow serta Sinar Harian sebagai media rasmi.
Rosli memaklumkan, kejohanan terbabit bakal menampilkan petinju nombor satu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Mohd Rafi Abdul Manaf atau mesra dipanggil Mat Ropi dengan rekod kemenangan lebih 100 kali.
Sementara itu, Nik Ahmad Zahiruddin menerangkan, pihaknya sebagai antara rakan strategik merasa bertanggungjawab untuk membantu sukan Muay Thai tempatan lebih dikenali dalam kalangan penggemarnya.
“Saya yakin sukan ini akan mendapat tempat di hati peminat, dengan kekuatan media sosial akan lebih memudahkan mereka untuk menonton Muay Thai di seluruh dunia juga.
“Hal ini kerana remaja masa kini cenderung untuk memilih media sosial sebagai platform untuk berkomunikasi dengan dunia luar yang diingini,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!