Daftar pemilih tambahan Oktober 2023 dibuka untuk semakan - SPR
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Daftar Pemilih Tambahan Bulan Oktober 2023 (DPT BLN10/2023) yang diperaku serta diwartakan hari ini, dibuka untuk semakan selama 30 hari bermula hari ini hingga 19 Disember 2023.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, daftar pemilih tambahan berkenaan mengandungi 43,657 nama warganegara yang berumur 18 tahun ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Oktober 2023, yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Beliau berkata, daftar pemilih tambahan itu juga mengandungi 7,351 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,655 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
"SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN10/2023 iaitu portal SPR melalui pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi pejabat pilihan raya negeri http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my.
"Semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih melalui talian 03-88927218,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ikmalrudin, warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Oktober 2023 serta mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status, diseru untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN10/2023.
Beliau berkata, sekiranya nama mereka tidak disenaraikan dalam daftar pemilih berkenaan, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
"Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.
Ikmalrudin berkata Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat Pilihan Raya Negeri http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN10/2023
Menurutnya, untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN10/2023, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR melalui talian 03-88927218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!