Jepun selesai pelepasan fasa ketiga sisa air dari NPP Fukushima
MOSCOW - Tokyo Electric Power Company (TEPCO) telah menyelesaikan pelepasan fasa ketiga air terawat dari Loji Tenaga Nuklear (NPP) Fukushima Jepun, lapor Sputnik memetik penyiar NHK pada Isnin.
TEPCO memulakan pelepasan air pusingan ketiga itu pada 2 November.
Menurut data syarikat, air yang pada peringkat awal melalui sistem penulenan ALPS, mempunyai 55-77 becquerel tritium seliter, jauh lebih rendah daripada norma 1,500 becquerel.
NHK melaporkan bahawa pelepasan air itu tidak menimbulkan sebarang masalah dengan lebih 7,800 tan air tulen daripada 10 tangki dilepaskan seperti dirancang.
Jepun mula melaksanakan pelan pelepasan 1.34 juta tan air terawat secara beransur-ansur dari NPP Fukushima ke lautan pada 24 Ogos.
Proses itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 30 tahun.
China mengharamkan semua import makanan laut dari Jepun kerana bimbangkan pencemaran radioaktif walaupun agensi tenaga atom antarabangsa (IAEA) mengesahkan air sisa yang dirawat hanya mempunyai kesan radiologi yang sangat rendah ke atas persekitaran marin dan kesihatan manusia.
NPP Fukushima lumpuh selepas dilanda tsunami susulan gempa bumi berukuran sembilan pada skala Richter yang melanda pada 2011.
Sejak itu, air dipam masuk untuk menyejukkan reaktor loji berkenaan. Sehingga Jun, kira-kira 1,000 tangki air sisa terawat disimpan di tapak berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!