109 rakyat Malaysia terkandas di Myanmar
PUTRAJAYA - Seramai 109 orang warga Malaysia dilaporkan terkandas di bandar Laukkaing, utara Myanmar susulan pergolakan yang berlaku di wilayah tersebut.
Kementerian Luar Negeri menerusi kenyataan pada Isnin turut mengesahkan kebanyakan rakyat Malaysia tersebut dipercayai mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
"Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming sedang menyelaras usaha menyelamat bersama Kementerian Luar Negeri Myanmar dan Kementerian Luar Negeri China sebelum memuktamadkan urusan membawa pulang kesemua mereka dengan selamat," kata kementerian itu.
Kementerian tersebut menjelaskan, usaha berkenaan juga mendapat kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
"Kementerian Luar Negeri terus meningkatkan usaha bagi menangani masalah warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara," katanya.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang berminat mendapatkan pekerjaan di luar negara diingatkan supaya berhati-hati dan mengesahkan bidang atau bentuk kerja yang ditawarkan.
Rakyat Malaysia di Myanmar yang memerlukan bantuan dan pertanyaan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di alamat No 82, Pyidaungsu Yeiktha Road Dagon Township, 11191 Yangon atau talian telefon 00951220230 / 220248 / 220249/ 00959772 220 230 (selepas waktu pejabat) atau e-mel mwyangon@kln.gov.my.
Pada awal bulan ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mengenai pertempuran sengit di antara junta tentera dan pakatan kumpulan etnik minoriti di utara Myanmar.
Peningkatan pertembungan antara kedua-dua pihak sejak kebelakangan ini menyebabkan lebih ramai orang awam terkorban dengan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!