MRSM Ranau terima kumpulan pertama pelajar Mac tahun depan

Bangunan MRSM Ranau. - Foto Bernama
Bangunan MRSM Ranau. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau yang telah siap sepenuhnya pada 25 September lepas akan menerima kumpulan pertama pelajar pada Mac tahun depan, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, pengambilan pelajar tingkatan satu dan empat itu melibatkan seramai 180 orang pelajar untuk MRSM berkenaan yang terletak pada ketinggian 721 meter dari aras laut menjadikan ia MRSM tertinggi di negara ini.

"MRSM Ranau ini boleh memuatkan seramai 450 pelajar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan MRSM Ranau daripada Petronas kepada kerajaan Sabah dan MARA di sini pada Isnin.

Hadir sama Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.

MRSM Ranau yang mula dibina pada penghujung 2018 dengan pembiayaan daripada Petronas, terletak di kaki Gunung Kinabalu dan 122 kilometer dari Kota Kinabalu dengan perjalanan mengambil masa lebih dua jam.

MRSM Ranau adalah MRSM kelima di Sabah dan yang ke-57 di seluruh negara.

Asyraf Wajdi berkata, cadangan untuk menamakan semula MRSM Ranau kepada nama tempatan akan dibawa untuk perbincangan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

"Soal nama ini ia perlu melalui proses tapi sudah tentu pandangan daripada Datuk Seri Masidi Manjun adalah sangat baik, mengambil kira sentimen dan sejarah yang bertapak dalam kalangan kaum Kadazan Dusun di Ranau.

Artikel Berkaitan:

"Pembinaan di sana (MRSM Ranau) pun mengambil kira aspirasi untuk membantu lebih ramai anak-anak bumiputera dalam kalangan masyarakat tempatan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya yang dibacakan Masidi berkata, MRSM Ranau itu dilihat akan membantu memacu pendidikan di Sabah khususnya di kawasan luar bandar negeri itu.

Beliau berkata, MRSM Ranau akan dapat membuka ruang dan peluang luas kepada pelajar tempatan untuk mengambil bidang sains serta bidang pengkhususan akademik berasaskan teknologi untuk memastikan lebih ramai pelajar terlibat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Kerajaan negeri, kata beliau, amat berbangga kerana Petronas telah berjaya merealisasikan projek MRSM Ranau dengan menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran terkini yang akan dikelolakan oleh Mara

"Saya yakin konsep MRSM ini bukan saja memberi bangunan sekolah yang terbaik tetapi juga kakitangan akademik yang terbaik dan akan memberi manfaat bukan saja kepada Ranau tetapi juga daerah lain di sekelilingnya,” kata beliau.

Sementara itu, Petronas dalam kenyataan sempena majlis itu memaklumkan kampus MRSM Ranau dibangunkan syarikat petroleum nasional itu dengan kos berjumlah RM132 juta hasil kerjasama dengan kerajaan Sabah dan Mara.

MRSM Ranau berkeluasan lebih daripada 26,000 meter persegi dilengkapi dengan kemudahan bangunan pentadbiran, blok akademik, pusat sumber, asrama, pusat pelajar, dewan makan, dewan serbaguna, pavilion, surau, kediaman kakitangan dan guru, bangunan sampingan dan kemudahan sukan.

"Kemudahan di MRSM itu telah dirancang dengan teliti demi memenuhi pelbagai keperluan pelajar, guru dan pengurusan kampus berkenaan. Kami yakin bahawa belia Sabah akan terus mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik.

"Ia penting bagi langkah ke arah melahirkan bakat tempatan yang berkemahiran untuk menyokong penyampaian matlamat sosial, ekonomi dan kelestarian di Sabah sejajar dengan matlamat Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-Petronas," menurut kenyataan itu. - Bernama