Tandas SK Sultan Abdul Aziz kini bertaraf 'BMW'
SHAH ALAM - Tandas Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, Perak kini telah berjaya direformasi ke taraf ‘Bersih, Menawan dan Wangi’ (BMW).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong berkata, sebelum ini beliau dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah memperuntukkan hampir RM100,000 kepada sekolah berkenaan untuk kerja penaiktarafan.
Menurutnya, ramai bekas pelajar menyuarakan tandas sekolah itu tidak pernah berubah sejak ia ditubuhkan malah membahayakan murid.
“Kini 20 bilik tandas tersebut bukan sahaja telah dibaik pulih, malah telah dinaik taraf ke standard BMW.
“Ini menunjukkan di mana ada kemahuan, di situlah ada jalannya. Kerajaan perpaduan akan terus berbakti kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Isnin.
Pada 9 September lalu, Kor Ming mencadangkan inisiatif kewangan RM300 juta diperuntukkan untuk membina tandas bertaraf BMW di seluruh negara.
Menurutnya, ia adalah antara cadangan agenda reformasi kemudahan awam negara yang dikemukakan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi Belanjawan 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!