Johor peruntuk RM400,000 bantu pelajar terjejas banjir
BATU PAHAT - Kerajaan Johor memperuntukkan RM400,000 untuk membantu meringankan beban pelajar yang menjadi mangsa banjir di daerah Kluang, Batu Pahat dan Segamat awal Disember lalu.
Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, peruntukan berkenaan membabitkan 1,272 pelajar dengan masing-masing akan menerima kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam dan juga beg sekolah.
“Situasi banjir sudah semakin baik. Hanya beberapa lokasi di daerah Segamat masih terjejas namun keadaan juga telah beransur pulih," katanya selepas program Jom Kembali Ke Sekolah melibatkan mangsa banjir peringkat daerah Batu Pahat yang diadakan di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Nornileya Husna Mohd Abdul Aziz, 15, berkata, dia bersyukur menerima bantuan terbabit kerana kelengkapan untuknya ke sekolah masih belum lengkap terutamanya alat tulis.
“Saya gembira dan bersyukur dengan bantuan ini, sekurang-sekurangnya beban ibu saya dapat dikurangkan, lebih-lebih lagi saya mempunyai seorang lagi adik yang masih bersekolah,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!