Genggam PhD selepas 10 tahun tempuh pelbagai halangan

Mohd Akhmarudi (kanan) dan Musliza meraikan kejayaan mereka pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, di Sintok pada Isnin.
Mohd Akhmarudi (kanan) dan Musliza meraikan kejayaan mereka pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, di Sintok pada Isnin.
A
A
A

SINTOK - Meskipun berdepan pelbagai halangan dalam tempoh 10 tahun, pasangan suami isteri yang berasal dari Bachok, Kelantan akhirnya berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.

Mereka berdua meraikan hari bersejarah itu bersama-sama pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, di sini pada Isnin.

Faktor kewangan, anak sakit dan ibu bapa tidak sihat semasa menyambung pengajian tidak mematahkan semangat Dr Mohd Akhmarudi Mohd Yusoff, 45, dan Dr Musliza Mat Jusoh, 45, untuk mencapai cita-cita mereka.

Mohd Akhmarudi yang juga Kaunselor Berdaftar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor 2, berkata, desakan untuk menjadi contoh dan galakan kepada anak-anak dan pelajarnya mendorongnya meneruskan proses menuntut ilmu.

"Sesungguhnya, perjalanan menuju kejayaan dalam membuktikan sesuatu kepada agama, bangsa dan negara penuh dengan cabaran kerana ia tidak semudah disangka serta hanya yang menempuhinya sahaja pasti merasainya.

"Alhamdulillah, kami memanjatkan rasa syukur kehadrat ALLAH SWT kerana akhirnya dapat menyiapkan tesis PhD dalam masa 10 tahun bermula 2013 hingga 2023," katanya yang menyiapkan tesis bertajuk 'Iklim Sekolah Sebagai Mediator Terhadap Hubungan Kepimpinan Instruksional dengan Kepuasan Kerja Guru'.

Mohd Akhmarudi dan Musliza bersama keluarga mereka selepas sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, di Sintok pada Isnin.
Mohd Akhmarudi dan Musliza bersama keluarga mereka selepas sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, di Sintok pada Isnin.

Sementara itu, Musliza berkata, PhD adalah erti sebuah kehidupan dan dengan memilikinya maruah mereka dapat ditebus daripada dihina dan ditohmah berikutan berasal dari keluarga petani yang susah.

Artikel Berkaitan:

Menurut ibu kepada empat anak itu, sesungguhnya hanya dengan kemajuan dalam pendidikan mampu mengubah nasib diri, agama, bangsa dan negara.

"PhD ini adalah lambang intelektual insan dan tesis ini merupakan satu pengkisahan kemenangan tentang sesuatu yang baik akan mengatasi yang buruk, tentang institusi kekeluargaan, kisah mengenai sebuah keluarga yang senantiasa bersama dan bersatu semasa menghadapi saat susah dan senang serta bersedia untuk menerima perubahan untuk maju ke hadapan.

"Tidak penting di mana dan bagaimana ia bermula tetapi yang penting di mana dan bagaimana ia berakhir," ujar Guru Kanan Teknik dan Vokasional SMK Beris Panchor itu.

Beliau juga berjaya menghasilkan tesis bertajuk ‘Pengaruh Efikasi Kendiri dan Kepuasan Kerja Guru Sebagai Mediator Terhadap Hubungan Iklim Sekolah dengan Komitmen Guru di Kelantan’.

Pasangan suami isteri tersebut merupakan alumni UUM bagi program Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan) dan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan) sebelum menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!