Korek telinga dan hidung batalkan wuduk?
SUDAH ambil wuduk, namun tiba-tiba sahaja rasa gatal pada bahagian telinga. Gara-gara tidak tahan, kita mengambil langkah untuk korek telinga.
Selepas selesai, baru terfikir sama ada perbuatan kita itu membatalkan wuduk ataupun tidak.
Maklum sahajalah, sudah tentulah bila kita korek bahagian itu akan keluar tahi telinga, bukan?
Begitu juga dengan orang yang korek hidung walaupun dia sudah berwuduk.
Apakah status wuduk seseorang yang mengorek telinga atau hidung? Batalkah air sembahyang yang sudah diambil?
Menjawab persoalan itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, kedua-dua perbuatan tersebut tidak membatalkan wuduk seseorang.
Malah katanya, solat yang dikerjakan mereka tetap sah.
“Perkara yang membatalkan wuduk adalah seperti keluarnya sesuatu dari dubur atau qubul, menyentuh kemaluan, tidur yang punggungnya tidak tetap di lantai, hilang akal, menyentuh kulit antara lelaki dan perempuan tanpa berlapik,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Maktabah Albakri.
Memetik laman web kalam-insani.livejournal.com, terdapat beberapa perkara yang pada zahirnya dihukumkan sebagai najis, tetapi ia mendapat keringanan daripada ALLAH SWT.
Mudah kata, ia tergolong sebagai najis yang dimaafkan dan sah dibawa dalam solat serta tidak wajib disucikan.
“Ia termasuklah najis pada logha (bahasa) seperti tahi mata, tahi telinga, tahi hidung, tahi gigi dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!