Penduduk waspada ombak besar, angin kencang

Nik menunjukkan sebahagian daripada rumahnya yang rosak akibat ombak besar pada Disember lalu.
Nik menunjukkan sebahagian daripada rumahnya yang rosak akibat ombak besar pada Disember lalu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Keadaan ombak besar serta angin kencang di pesisir pantai di Semerak di sini menyebabkan penduduk sentiasa waspada dengan perubahan cuaca sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang sudah bermula ketika ini.

Penduduk, Nik Awang, 80, dari Kampung Dalam Rhu, Pantai Bisikan Bayu berkata, dia sudah dipujuk beberapa kali oleh anak-anak untuk pindah ke rumah mereka namun enggan berbuat demikian.

"Walaupun keadaan ombak besar, angin kuat tetapi saya tetap ingin berada di rumah ini.

Nik tidak lena tidur pada sebelah malam melihat keadaan ombak besar tetapi hatinya kental untuk terus tinggal di rumahnya yang hanya berjarak 10 meter dari pantai.
Nik tidak lena tidur pada sebelah malam melihat keadaan ombak besar tetapi hatinya kental untuk terus tinggal di rumahnya yang hanya berjarak 10 meter dari pantai.

"Saya masih lagi trauma bila teringatkan kejadian Disember lalu apabila sebahagian daripada rumah runtuh disebabkan air pasang sehingga menyebabkan berlakunya hakisan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dia memberitahu, walaupun tidak lena tidur pada sebelah malam melihat keadaan itu tetapi hatinya kental untuk terus tinggal di rumah tersebut yang hanya berjarak 10 meter dari pantai.

Ujarnya, cuaca mulai buruk sejak Sabtu lalu, sehingga menyebabkan setiap hari dia perlu menyampu sampah sarap yang disebabkan oleh air pasang.

Artikel Berkaitan:

Gerai makanan milik Norida di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh terpaksa ditutup kerana cuaca buruk.
Gerai makanan milik Norida di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh terpaksa ditutup kerana cuaca buruk.

Sementara itu, peniaga makanan di Pantai Bisikan Bayu, Norida Hasan, 47, berkata, melihat keadaan terkini mungkin dia terpaksa menutup gerai jualannya sekitar seminggu atau lebih.

"Khemah yang saya gunakan pun sudah patah disebabkan angin kuat, baru sahaja sebulan dibeli.

"Sepanjang penutupan gerai ini, saya hanya berehat sahaja di rumah sehinggalah cuaca kembali baik," ujarnya.

Gerai jualan di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh ditutup disebabkan MTL.
Gerai jualan di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh ditutup disebabkan MTL.

Seorang pengunjung, Wan Saiful Wan Mohamed, 35, memberitahu, dia berkunjung ke Pantai Bisikan Bayu kerana ingin melihat keadaan terkini ombak.

Tambahnya, melihat situasi itu ia tidak sesuai untuk sebarang aktiviti di pesisir pantai.

"Angin yang kuat ketika ini menyebabkan saya singgah sekejap sahaja disebabkan bimbangkan keselamatan," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mengingatkan komuniti nelayan supaya waspada dengan fenomena angin kencang dan ombak setinggi 3.5 meter yang boleh membahayakan keselamatan mereka jika turun ke laut ketika ini.

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, perkara tersebut turut ditujukan kepada komuniti perkapalan, industri cari gali minyak serta penggemar aktiviti rekreasi laut atau di pesisir pantai.

"Susulan itu kita menyeru agar semua kumpulan yang terlibat ini meningkatkan tahap kewaspadaan sepanjang MTL.

"Hal ini kerana, ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan amaran angin kencang bertiup pada kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencecah 3.5 meter sedang melanda negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!