Itali intai trofi Euro
ITALI mengubat kekecewaan gagal layak ke Piala Dunia bagi dua edisi berturut-turut apabila meraih tiket ke saingan Euro di Jerman tahun depan.
Sebagai penyandang juara, skuad The Azzurri mula mencongak impian untuk mempertahankan kejuaraan empat tahun lalu itu.
Meskipun sekadar terikat tanpa jaringan dengan Ukraine di Leverkusen awal pagi Selasa ia sudah cukup buat Itali mara ke kejohanan berprestij Eropah itu.
Keputusan itu bermakna Itali, yang gagal layak ke Piala Dunia 2018 dan 2022, berjaya mengelak episod memalukan.
Pemain tengah Itali, Davide Frattesi bertekad untuk mengulangi kejayaan yang luar biasa tersebut.
“Kami berada di bawah tekanan, tetapi secara keseluruhan ia adalah persembahan yang baik. Apa yang penting ialah kami layak.
“Kami menderita, tetapi ia penting untuk melaluinya. Selepas ini kami akan cuba mengulangi sesuatu yang hebat,” katanya.
Kedua-dua negara menamatkan saingan dengan mengutip 14 mata di belakang England dalam Kumpulan C, tetapi Itali bersandarkan rekod pertemuan sebelum ini apabila mereka menang 2-1 di Milan September lalu.
“Kami tahu jika tidak dapat memecahkan kebuntuan selepas sejam aksi, ia akan menjadi sangat sukar. Ukraine kemudian menjadikannya perlawanan yang lebih bercorak fizikal,” ujar Frattesi.
Keputusan itu tidak membayangkan aksi sebenar di atas padang dengan Itali melakukan serangan bertali-arus, manakala Ukraine pula mengancam menerusi serangan balas pantas untuk membolehkan kedua-dua pasukan memburu jaringan, namun keputusan 0-0 kekal hingga tamat permainan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!