Pesara kerajaan didakwa subahat tipu tuntutan insentif Penjana Kerjaya

Rozina (tengah) tidak mengaku bersalah bersubahat atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi menuntut insentif berjumlah RM9,537.78 sejak dua tahun lalu.
Rozina (tengah) tidak mengaku bersalah bersubahat atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi menuntut insentif berjumlah RM9,537.78 sejak dua tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara kerajaan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Selasa atas tiga pertuduhan bersubahat mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 membabitkan nilai keseluruhan RM9,537.78, dua tahun lalu.

Tertuduh, Rozina Abu Bakar, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Ibu kepada lima anak yang merupakan pengurus syarikat Teja Skill Solution didakwa telah bersubahat dengan seorang individu memberikan laporan kursus perniagaan melalui internet di bawah program Penjana Kerjaya 2.0 bagi menuntut insentif terbabit.

Dokumen terbabit didakwa diserahkan kepada ejen PERKESO dengan niat memperdayakan PERKESO.

Rozina didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut mengandungi butiran palsu tentang tiga individu berbeza dengan setiap satu tuntutan bernilai RM3,179.26 sedangkan kesemua mereka tidak pernah menghadiri kursus tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di Jalan Bandar Putra 1A, Bandar Putra, di sini, pada 4 Oktober 2021 dan dua kesalahan lagi pada 1 Disember 2021.

Susulan itu, Rozina didakwa kesalahan di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dibaca bersama di bawah 28 (1) (c) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (c) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) ASPRM 2009 (Akta 694) di mana dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding terbabit, Rozina turut diberikan tiga pertuduhan pilihan di bawah seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan kepada mahkamah agar tertuduh ditawarkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut meminta agar mahkamah membenarkan syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh iaitu melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerah pasportnya kepada mahkamah.

Bagaimanapun Rozina yang diwakili peguam, Mohd Fadzli Mohd Ramly memohon agar wang jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menyara lima anak termasuk seorang anak kelainan upaya (OKU).

Mohd Fadzli dalam hujahnya berkata, kesemua tuduhan tidak menggambarkan anak guamnya sebagai pelaku utama sebaliknya sebagai subahat kepada pesalah utama.

“Jumlah jaminan yang ditawarkan adalah tidak sesuai dan dicadangkan sebanyak RM5,000. Saya percaya tertuduh akan memberikan kerjasama yang sangat baik dan akan hadir ke mahkamah,” katanya.

Hakim memutuskan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bercagar.

Mahkamah juga memerintahkan agar tertuduh melaporkan diri ke Pejabat SPRM Pahang bermula Disember serta perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga bicara selesai.

Kes disebut semula 21 Disember depan.