Penduduk lega tebing sudah dibaik pulih
LUMUT - Tindakan pantas Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bersama syarikat konsesi Puncak Emas Infra Sdn Bhd membaik pulih tebing yang terhakis di Taman Sri Batik di sini melegakan penduduk.
Seorang penduduk, Abd Rashid Ahmad, 61, berkata, sebelum ini penduduk sentiasa dalam keadaan bimbang apabila berlaku risiko kejadian tanah runtuh melibatkan struktur tembok penahan setinggi tiga meter yang retak berhampiran rumah mereka.
Menurutnya, selepas aduan dibuat kepada pihak MPM, kerja-kerja baik pulih itu terus dilakukan pihak konsesi sehingga siap pada Julai lalu.
"Saya ucapkan terima kasih kepada MPM dan Puncak Emas Infra yang bertungkus lumus pastikan baik pulih siap. Sekarang ini penduduk lebih tenang, tak rasa bimbang.
"Dulu setiap kali hujan memang tak boleh tidur. Kalau nampak budak-budak main kat hujung memang saya akan keluar rumah jenguk takut tebing runtuh," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Taman Sri Batik di sini.
Sementara itu, Setiausaha Kerja Ahli Majlis Zon 4, Noor Hisham Mustapa berkata, kerja baik pulih yang dilakukan itu wajar diberikan pujian kerana ia dilaksanakan segera.
Menurutnya, selain itu juga penghargaan juga perlu diberikan kepada Lembaga Air Perak (LAP) yang turut membantu mengalih paip penduduk ke kawasan lebih selamat.
"Kita berharap aduan berkaitan keselamatan akan diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak PBT bagi mengelak risiko dan kerosakan lebih teruk," katanya.
Pada 5 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan penduduk di Taman Sri Batik melahirkan kebimbangan risiko berlakunya kejadian tanah runtuh apabila struktur tembok penahan setinggi tiga meter berhampiran rumah mereka mulai retak, Mac lalu.
Susulan itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh memaklumkan masalah itu diklasifikasikan sebagai keutamaan dan peruntukan sejumlah RM500,000 telah disediakan bagi projek itu.
Kerja-kerja pemulihan cerun dilaksanakan segera bermula pada penghujung Mei lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!