APM tangkap ular sawa 100kg, telan tiga ekor kambing

Anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap haiwan terbabit yang sedang terdampar kekenyangan. - Foto APM
Anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap haiwan terbabit yang sedang terdampar kekenyangan. - Foto APM
A
A
A

PERMAISURI - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap seekor ular sawa sepanjang enam meter yang dianggarkan seberat 100 kilogram (kg) di Kampung Kubang Puyu, Chalok di sini hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Kapten (PA) Mohd Nizu Husien berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penternak kira-kira jam 9.15 pagi tadi yang memaklumkan kemunculan reptilia itu berhampiran kandang kambing miliknya.

Sebaik menerima laporan, beliau mengerahkan empat anggota ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi berkenaan.

"Difahamkan, ular sawa itu telah menelan tiga ekor kambing peliharaannya termasuk dua ekor anak kambing. Anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap haiwan terbabit yang sedang terdampar kekenyangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Nizu berkata. ular sawa itu telah dibawa ke pejabat APM Setiu dan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan kehadiran binatang liar dan berbisa pada musim tengkujuh ini.

Menurut beliau, limpahan air di habitat semula jadi menyebabkan haiwan berkenaan keluar mencari tempat berlindung termasuk di kawasan rumah dan kandang haiwan ternakan.

"Berhati-hati juga dengan limpahan air di dalam rumah kerana kemungkinan terdapat ular berbisa," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!