Kes scammer di Pulau Pinang meningkat 45 peratus

Kon Yeow ketika hadir pada Sidang DUN pada Selasa.
Kon Yeow ketika hadir pada Sidang DUN pada Selasa.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang mencatatkan peningkatan kes penipuan atas talian atau scam sebanyak 45 peratus pada tahun ini berbanding pada tahun 2022.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, melalui statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan pada tahun ini sebanyak 2,363 kertas siasatan telah dibuka pada tahun ini sehingga September 2023.

"Sejumlah 1,632 kertas siasatan dibuka melibatkan penipuan dalam talian pada tahun lalu manakala dan meningkat 45 peratus pada tahun ini," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, pada Selasa.

Kon Yeow (PH-Padang Kota) berkata demikian menjawab soalan Lee Boon Heng (PH-Kebun Bunga) yang ingin mengetahui berapa jumlah kes berkaitan penipuan dalam talian atau pelbagai jenis 'scam' direkodkan di negeri tersebut.

Kon Yeow berkata, pihaknya dimaklumkan PDRM sudah melaksanakan beberapa langkah strategik dan berkesan untuk menangani isu berkenaan.

Katanya, ini termasuk menerusi aplikasi 'Semak Mule' dibangunkan PDRM selain adanya Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di talian bebas tol 997 bagi menerima aduan orang ramai terutamanya mangsa 'scam' yang dapat menyekat transaksi wang dengan kerjasama institusi kewangan.

"Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial Pulau Pinang dari semasa ke semasa sentiasa mengadakan kempen seperti program ceramah, pameran, sembang santai dan hebahan media sosial.

"Sejumlah 385 kempen pencegahan diadakan di Pulau Pinang yang antaranya menyasarkan jabatan kerajaan, sekolah, masjid, rumah ibadat, sektor perkilangan selain badan swasta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!