Kerajaan salur RM80 juta kepada MIMOS, awalkan program digital ID - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan melantik pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) gunaan nasional MIMOS Berhad sebagai agensi pelaksana program Identiti Digital Nasional (IDN) atau Digital ID dengan peruntukan awal sebanyak RM80 juta, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, peruntukan itu akan disalurkan kepada MIMOS pada minggu hadapan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyegerakan pelaksanaan program berkenaan.

"Saya memutuskan untuk MIMOS menyelenggarakan ID Digital untuk Malaysia. Ada keperluan segera, ada peruntukan untuk maksud tersebut (Digital ID) yang diluluskan KDN.

"Untuk mempercepatkan proses itu, kita segerakan dan minta program pelaksana itu diawalkan. Saya mendapat jaminan bahawa ia dapat disegerakan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang dengan syarat kerajaan meluluskan peruntukan,” kata beliau ketika mengadakan lawatan rasmi ke MIMOS Berhad di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa selain peruntukan awal, beberapa peraturan kelulusan lain yang berkaitan dengan program ID Digital juga akan diselesaikan sebelum akhir bulan ini.

Beliau menjelaskan, ID Digital diperlukan bagi membantu kerajaan melaksanakan program subsidi bersasar serta program-program lain yang dirancang untuk rakyat.

Sementara itu, Anwar juga mahu jentera penyelidikan sains dan teknologi negara diperkasakan selari dengan tranformasi digital yang merupakan antara tonggak dalam pendekatan negara MADANI.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita mahu angkat martabat, darjat harakat negara ini, maka kita harus gunakan kekuatan dalaman dulu. Ini tidak bermakna kita tidak menimba pengalaman asing. Kita mahu negara ini maju dan tidak ketinggalan tetapi bukan dengan menciplak atau menyerah kepada tekonologi asing, malah maju dengan kekuatan atau kepakaran dalaman.

"Negara ini tidak boleh bergerak dalam tahap selamba yang lama, kita ada kejutan. Ini memerlukan kepakaran dari semua yang mampu, tunjuk keupayaan, keterampilan mereka dalam bidang ini dan menggerakkan satu kesedaran baharu," kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata, terdapat kekurangan dari segi kemahiran tertinggi dalam kalangan jurutera di negara ini berdasarkan maklum balas daripada Infineon Technologies AG dan syarikat automatif China, Geely yang melabur di Malaysia.

"Walaupun mereka (Infineon) bangga dengan tahap profesional jurutera dan teknologi kita tetapi mereka menganggap ada kekurangan dari segi kemahiran peringkat tertinggi yang diperlukan tetapi tidak mampu dikendalikan oleh anak-anak tempatan," kata beliau.

Justeru, beliau meminta MIMOS menyediakan latihan dan kurikulum yang dikendali secara langsung oleh agensi tersebut atau kerjasama dengan universiti serta pusat penyelidikan lain.

Beliau juga berharap MIMOS dan universiti tempatan dapat mengenal pasti bidang yang perlu diberi latihan agar dapat mempersiapkan tenaga yang cukup terlatih untuk memperbaiki kekurangan sekali gus melonjakkan latihan termasuk dalam bidang digital serta teknologi kecerdasan buatan (AI). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!